IPOH: Kehadiran Syawal kali ini lebih bermakna buat keluarga Dukut Maharajo dan Halijah Awang apabila enam keturunan keluarga ini dihimpunkan secara besar-besaran, di Kampung Kepayang pada Selasa.

Kira-kira 1,000 ahli keluarga dan sanak-saudara hadir, termasuk dari luar seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia, memeriahkan lagi suasana dengan pakaian hari raya penuh warna-warni dan tradisi, seiring dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan ketika negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik.

Generasi kelima, Asyraaf Syahmie Hasri, 25, pegawai media awam dari sebuah universiti swasta berkata program itu bertujuan mengumpul semua ahli keluarga di perhimpunan keluarga yang merupakan versi ke-20 sejak diadakan bermula dari tahun 1980 lagi.

"Perhimpunan keluarga ini sering kali dilakukan dua tahun sekali bagi mengeratkan lagi silaturahim antara generasi, dan menghidupkan semula acara yang telah ditinggalkan empat tahun lepas ekoran pandemik COVID-19," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Dato' Azumu, Kampung Kepayang di sini, semalam.

Jelasnya secara ringkas sejarah keturunan ini bermula apabila Dukut berhijrah ke Malaysia dari Indonesia pada 1800 ketika berumur 14 tahun dengan menaiki bot untuk memulakan hidup, bermula dengan menjual songkok tradisional dari Indonesia dan menjual air sirap di Chemor demi kelangsungan hidup.

"Dukut sangat alim, kerap bersembahyang di Masjid India di pusat bandar raya Ipoh sehinggalah berjumpa dengan Imam Awang yang mencadangkan beliau untuk berumahtangga dengan anaknya, Halijah.

"Mereka diijabkabulkan dan dikurniakan lapan orang cahaya mata iaitu empat lelaki dan empat perempuan yang merupakan generasi kedua dalam keluarga ini," tambahnya.

Menurut Asyraaf Syahmie, keturunan Dukut percaya bahawa jika seseorang itu keluar merantau dan tidak memperoleh kejayaan, dia tidak boleh pulang ke tempat asalnya.

Sungguhpun Dukut tidak mempunyai kehidupan yang cemerlang, dia dianugerahkan anak-anak dan cucu yang berjaya membawa nama keluarga seperti Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Paduka Maharaja Lela Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, serta beberapa kenamaan yang memikul tugas sebagai hakim negara, pengurus syarikat dan macam-macam lagi.

Turut hadir di perhimpunan itu adalah cucu Dukut Halijah iaitu Mukhtar Mahmud, 86, Abu Bakar Saidin, 90, dan Abdul Bari Ahmad, 74, dan ketiga-tiga mereka adalah sepupu rapat Ahmad Faizal yang merupakan generasi ke-4 keluarga itu.

Ahmad Faizal dan isteri Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi ketika ditemui berkata mereka amat bersyukur dan gembira apabila diberi peluang untuk bertemu sanak-saudara dari pelbagai lapisan generasi khasnya ketika menyambut kehadiran Syawal ini.

"Saya harap kita semua dapat meneruskan lagi ukhwah antara kita sesama saudara kerana tanpa mereka, kita bukan lah sesiapa," kata Ahmad Faizal.

-- BERNAMA