Enam anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan hari ini kerana tuduhan menerima rasuah bernilai RM8,000.

Dalam satu kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semua anggota polis berkenaan yang bertugas di Balai Polis Muadzam Shah, Rompin, itu juga didakwa tidak melaporkan kesalahan rasuah pada hujung tahun lalu.

"Kesemua tertuduh tidak mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof dan minta dibicarakan.

"Kesemua mereka yang berpangkat Konstabel, Lans Koperal dan Koperal berumur dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an.

"Jika disabitkan kesalahan masing-masing boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana-mana yang lebih tinggi dan dipenjara sehingga 20 tahun," jelas kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, pegawai yang ditahan adalah Koperal Mazlan Muhd Nor, 34 tahun yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 menerima suapan iaitu wang tunai masing-masing sebanyak RM7,000 dan RM1,000.

"Selain itu, Lans Koperal Mohd Azmie Majid @Majied, 29 tahun, Konstabel Mohamad Firdaus Abdullah, 24 tahun, dan Koperal Mohd Juhairy Jamaludin, 32 tahun, yang didakwa bersubahat bersama Koperal Mazlan Muhd Nor, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 iaitu menerima suapan RM7,000 dan RM1,000.

"Keempat-empat mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Disember 2014, antara 2 hingga 4 pagi di Kedai Makan Sri Muadzam Ikan Bakar, Rompin, dan kira-kira 7.55 malam pada 22 Disember 2014 di Restoran Anjung D’café Rompin.

"Lans Koperal Mohd Hazly Tomiran, 29 tahun, dan Konstabel Mohd Hafizi Abdullah, 28 tahun, didakwa bersubahat bersama Koperal Mazlan Muhd Nor, di mana kedua-dua mereka menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) iaitu menerima suapan RM7,000," ujar kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, pertuduhan ke atas mereka juga dibacakan bersama Seksyen 28 (1)(c) dan Seksyen 25 (3) Akta SPRM 2009 iaitu tidak melaporkan perlakuan rasuah Koperal Mazlan.

Jelas kenyataan itu lagi, kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan pada pukul 2 hingga 4 pagi, 18 Disember 2014 di Kedai Makan Sri Muadzam Ikan Bakar, Rompin.

"Kesemua tertuduh didakwa mengambil suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori bernombor pendaftaran WJF 7420, yang tidak mempunyai permit dan lesen membawa kayu getah.

"Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabudin mewakili SPRM.

Hakim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Jelas kenyataan itu, kes itu akan disebut semula pada 3 September depan.