GEORGE TOWN: Enam lelaki termasuk ketua kumpulan yang terlibat dengan kegiatan pecah rumah di Pulau Pinang, Perak, Pahang, Johor dan Kuala Lumpur sejak awal Januari lepas akhirnya berjaya diberkas polis negeri ini.

Kesemua suspek yang berusia antara 34 hingga 47 tahun itu ditahan polis bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang menerusi Op Pintu Mutiara di beberapa kawasan membabitkan Kedah dan Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Rahimi Ra’ais berkata, operasi itu dijalankan susulan laporan kes pecah rumah di Ayer Itam di sini, pada 26 Februari lepas.

Katanya, kumpulan berkenaan menyasarkan orang tua yang tinggal bersendirian sebagai mangsa.

Operasi berkenaan, jelas beliau, turut merampas pelbagai barangan antaranya dua buah kereta, 12 unit telefon bimbit, 11 unit jam tangan, kamera, wang tunai dan peralatan-peralatan yang digunakan untuk kegiatan terbabit.

“Kumpulan ini aktif melakukan jenayah di beberapa buah negeri dan bukan hanya terlibat di Pulau Pinang semata-mata , ia samun cross border di mana kumpulan samun dan kumpulan pecah rumah ini keluar dari negeri- negeri yang melakukan kegiatan pecah rumah

“Kumpulan ini juga merancang dengan teliti untuk setiap tindakan yang telah diambil dan bukannya bersifat opportunist semata-mata” katanya hari ini.

Antara barangan rampasan oleh polis Pulau Pinang dalam Op Pintu Mutiara daripada kumpulan yang aktif pecah rumah. - Gambar ihsan PDRM

Sementara itu, Rahimi berkata, empat daripada suspek turut didapati positif dadah.

Semakan juga mendapati ketua kumpulan yang berusia 45 tahun itu mempunyai 45 rekod lampau membabitkan 43 kes pecah rumah manakala selebihnya berkaitan dadah.

Polis juga kini giat mengesan seorang lagi suspek berusia 39 tahun yang masih bebas iaitu Lo Bin Son.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Rahimi berkata, dengan tangkapan terbabit, polis berjaya menyelesaikan 14 kes pecah rumah melibatkan lima negeri dengan lapan daripadanya membabitkan kes di Pulau Pinang dengan kerugian lebih RM200,000.