GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan membincangkan nasib empat wakil rakyat negeri itu yang tidak lagi menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Jumaat ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata perbincangan itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Kon Yeow berkata, beliau mengalu-alukan keputusan tersebut dan ia juga hasil yang sangat diingini daripada permohonan Kerajaan Negeri untuk menentukan keperlembagaan Perkara 14A Undang-undang Tubuh Negeri Pulau Pinang.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan keputusan sebulat suara hari ini oleh Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan keputusan tersebut yang antara lainnya menyebut bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak terbatal kerana ia tidak bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan

"Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bermesyuarat pada hari Jumaat, 5 Ogos 2022 ini untuk membincangkan tindakan seterusnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA: Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang sah, berperlembagaan

Pada Rabu, Mahkamah Persekutuan Malaysia memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel itu, berkata, Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah kerana ia konsisten dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 12 April lepas, Pesuruhjaya Kehakiman, Azizan Md Arshad membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya, Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar serta memutuskan isu perlembagaan berkaitan enakmen antilompat negeri itu.

DUN Pulau Pinang dan Speaker mahu Mahkamah Persekutuan memutuskan persoalan sama ada Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah tidak sah kerana ia tidak konsisten dengan Perkara 10 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai hak kebebasan berpersatuan.

Empat ADUN iaitu Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) telah memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.