ALOR SETAR: Empat atlet mendaki Kedah termasuk seorang wanita hari ini mencipta sejarah apabila berjaya melengkapkan misi merentas Jambatan Limbong Kapal yang berusia 107 tahun dengan menggunakan teknik 'urban roof climbing' sempena sambutan Hari Malaysia.

Lebih manis, pencapaian mereka melakukan teknik 'urban roof climbing' iaitu merentas jambatan secara tergantung dalam keadaan terbalik seolah-olah seperti aksi 'Spiderman' itu yang pertama seumpamanya dalam negara memandangkan teknik itu lazimnya dilakukan pendaki luar negara.

Pengarah misi itu, Syed Alif Iskandar Syed Zainal Abidin, 37, berkata kejayaan empat pendaki menyempurnakan aksi itu merupakan sesuatu yang dibanggakan.

"Kita telah fikirkan kelainan yang boleh dilakukan sempena Hari Malaysia dan apabila mereka menyuarakan keinginan untuk merentas jambatan keretapi lama sepanjang 80 meter yang siap dibina pada tahun 1915 itu dengan menggunakan teknik 'urban roof climbing', maka terciptalah sejarah hari ini," katanya kepada Bernama di jambatan berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata keempat-empat mereka ialah Mohd Zamri Hamid, 51, yang merupakan ketua misi selain Muhammad Akif Nukman Nazrilazdin, 23, Dzukram Alzam Mohd Zamri, 19 dan satu-satunya atlet wanita Wann Iryani Ariffin, 32.



"Mohd Zamri berjaya merentas jambatan itu secara solo manakala tiga yang lain melakukan misi yang sama secara bergilir-gilir. Memang satu cabaran yang besar dipikul oleh mereka bagi menunjukkan semangat cintakan negara sempena Hari Malaysia," katanya.

Mohd Zamri yang juga jurulatih sukan mendaki berkata beliau terharu dan bangga kerana menjadi seorang daripada pendaki yang berjaya melengkapkan misi itu walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran untuk menjayakan misi yang dirancang kira-kira sebulan lepas.

"Kami berlatih dalam tempoh sebulan untuk misi ini. Perancangan asal adalah melakukan misi itu secara bergilir-gilir melibatkan kami berempat tetapi saya ingin mencabar diri dan membuktikan kepada orang ramai bahawa saya mampu melakukan misi secara solo walaupun sudah berusia.

"Malam tadi hujan lebat, jadi ada peralatan yang basah dan pagi ini kami terpaksa keringkan dahulu dan secara tidak langsung ia menggunakan banyak tenaga. Tadi, saya hampir putus asa selepas melihat mereka bertiga berjaya habiskan misi secara bergilir-gilir, ditambah pula dengan letih dan cedera di bahagian jari," katanya.

Menurut Mohd Zamri, beliau menguatkan tekad untuk menghabiskan misi berkenaan selepas melihat ahli keluarga dan rakan-rakan yang berada di penghujung jambatan tidak putus-putus memberi kata semangat dan akhirnya berjaya menghabiskan misi dalam tempoh 25 minit.



Sementara itu, Wann Iryani yang menceburi aktiviti mendaki lebih 15 tahun berkata misi hari ini membawa seribu satu makna buat dirinya kerana merentas jambatan yang panjang selain merupakan satu-satunya atlet wanita menyertai misi itu.

"Saya akan berlatih dalam tempoh tiga jam apabila ada kelapangan memandangkan bertugas sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Bukit Kayu Hitam.

"Semasa misi dijalankan tadi, perasaan gementar itu muncul apabila orang ramai mula bersorak nama saya tetapi saya kuatkan mental dan berjaya menghabiskan misi ini bersama dua yang lain dalam tempoh 10 minit," katanya.

Selain misi itu, program sambutan Hari Malaysia di Jambatan Limbong Kapal itu turut diselitkan dengan aktiviti 'flying fox' yang memberi peluang kepada orang awam mencuba aktiviti ekstrem berkenaan.

-- BERNAMA