Gara-gara tidak lepas memotong kenderaan lain menyebabkan empat individu termasuk tiga sekeluarga maut dalam kejadian kejadian kemalangan maut di Kilometer (KM) 16 Jalan Lipis-Benta berhampiran Simpang Taman Jelai di sini, petang tadi.
Mangsa yang maut dalam kejadian jam jam 3.50 petang itu ialah pemandu Proton Waja, Mukhtar Hassan, 52, dan isterinya, Khatijah Hussin, 61, serta cucunya, Ahmad Fakhrul Muslim Ahmad Ridhwan, 2, yang kesemuanya berasal dari Taman Kelaboran Jaya, Tumpat, Kelantan.
Menurut Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azry Akmar Ayob, turut maut dalam kejadian itu adalah pemandu Perodua Myvi yang juga anggota tentera, Muhamad Samsol Kamal Mat Arifin, 22, yang bertugas di Kem Kementah, Kuala Lumpur.
"Kejadian berlaku akibat pemandu Perodua Myvi dipercayai tidak lepas memotong kenderaan lain menyebabkannya bertembung dengan Proton Waja yang ketika itu dinaiki oleh lapan orang termasuk pemandu.
"Akibat kemalangan ini, Khatijah dan Muhamad Samsol Kamal maut di tempat kejadian manakala Mukhtar dan Ahmad Fakhrul Muslim meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Azry Akmar berkata, mangsa yang cedera parah pula adalah anak Mukhtar, Zalimawati, 34 dan anaknya, Zulaikha Basyirah Ahmad Ridwan, 10, yang kini masih dirawat di zon merah Hospital Kuala Lipis.
"Empat lagi mangsa termasuk isteri kepada anggota tentera itu mengalami kecederaan ringan dan juga sudah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut," katanya.
"Kesemua mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk proses bedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Kita minta saksi bebas untuk tampil membantu siasatan kejadian ini," katanya.