Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, kemalangan tersebut membabitkan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan Nissan Navara serta dua buah Proton Wira.
Bagaimanapun, katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang berdekatan Kampung Merang, di sini tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa.
"Kemalangan berlaku babit kenderaan jenis Ford Ranger dalam perjalanan dari Saujana menghala ke Merang, manakala tiga lagi kenderaan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu, Kelantan.
"Siasatan awal mendapati pemandu Ford Ranger tersebut dipercayai terlelap lalu hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Nissan Navara.
"Tidak lama selepas itu datang sebuah Proton Wira dari arah belakang dan melanggar bahagian belakang Nissan Navara seterusnya datang sebuah lagi Proton Wira dari arah belakang dan melanggar bahagian belakang kereta jenis yang sama," katanya di sini pada Ahad.
Menurut Mohd Zain, kemalangan tersebut menyebabkan keempat-empat kenderaan mengalami kerosakan termasuk bahagian depan dan belakang.
"Keempat-empat pemandu yang mengalami kecederaan ringan telah menerima rawatan di bahagian pesakit luar.
"Selain itu, dua orang penumpang yang masing-masing menaiki dua buah pacuan empat roda mendapatkan rawatan di Hospital Setiu manakala sembilan lagi yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Sinar Harian