SEREMBAN: Gara-gara mengelak daripada pemeriksaan polis, seorang penagih dadah bertindak memandu kereta dengan laju sehingga melanggar pagar kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) Rembau, di Jalan Seremban-Tampin, pada kira-kira 7 malam, semalam.


Ringkasan AI
  • Seorang penagih dadah memandu laju untuk mengelak pemeriksaan polis, menyebabkan keretanya melanggar pagar kuarters JKR Rembau.
  • Suspek, seorang lelaki berusia 52 tahun, mempunyai 16 rekod jenayah dan dadah, dan didapati positif methamphetamine.
  • Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.


Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata kejadian berlaku semasa anggota sedang menjalankan Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah ternampak sebuah kereta Proton Gen2 dipandu lelaki berusia 52 tahun dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata polis mengarahkan lelaki itu berhenti di Jalan Pinggiran Senawang namun suspek melarikan diri dengan memecut laju ke arah Rembau.

"Tiba di persimpangan Ulu Sepri, kenderaan dipandu lelaki itu hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pagar perumahan JKR Rembau.

"Pemeriksaan ke atas suspek tidak menjumpai barangan yang salah, namun semakan kad pengenalan mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah dan dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata suspek dikesan positif methamphetamine dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

-- BERNAMA