Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) meminta kerajaan mengkaji semula fungsi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebagai agensi pelaksana penyaluran diesel bersubsidi kepada nelayan, dan menyarankan jabatan lain seperti Jabatan Perikanan mengambil alih peranan itu.

Pengerusi PAC Datuk Seri Hasan Arifin berkata langkah itu adalah antara saranannya supaya kerajaan merombak secara menyeluruh sistem pengagihan diesel bersubsidi kepada nelayan bagi mengelak ketirisan besar dana kerajaan.

"Sistem pengagihan diesel bersubsidi perlu dikaji semula secara menyeluruh sama untuk memastikan ia menepati matlamat untuk meringankan beban kepada rakyat dan kos pengurusannya adalah berpatutan.

"Jika kerajaan mendapati skim subsidi perlu diteruskan kepada sektor-sektor tertentu, sistem pengagihan diesel bersubsidi ini perlu dirombak secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan mengenai Laporan PAC Berhubung Isu Penyelewengan dan Penyeludupan Diesel Bersubsidi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya langkah-langkah penambahbaikan sistem itu, yang dilaksanakan secara berperingkat sebelum ini, telah gagal mengawal dan mengelak ketirisan serta pembaziran dana kerajaan.

Justeru itu, PAC meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan agensinya seperti LKIM supaya mengenal pasti individu yang terbabit dalam penyelewengan bahan api bersubsidi itu dan mengambil tindakan terhadap mereka.

PAC turut menyarankan satu mekanisma penandaan terhadap diesel bersubsidi dilaksanakan bagi mengatasi masalah penyelewengan selain mengkaji sistem agihan dan digantikan dengan satu sistem pemberian kepada golongan sasar yang benar-benar layak.

"Kementerian hendaklah memperkemaskan prosedur bagi memproses dan meluluskan pemberian diesel super subsidi kepada individu atau syarikat yang layak dan bagi syarikat yang terbukti beberapa kali melanggar syarat, mereka ini perlu disenaraihitamkan daripada mendapat sebarang kuota," katanya.

PAC hari ini membentangkan di Dewan Rakyat Laporan PAC Isu Penyelewengan dan Penyeludupan Diesel Bersubsidi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Jawatankuasa itu memulakan prosiding terhadap isu itu pada 19 Jun 2014 bagi melindungi kepentingan awam selepas ia mendapat liputan meluas daripada media massa dengan pelbagai reaksi daripada masyarakat umum.

Dalam prosiding berkenaan, antara isu yang diteliti adalah tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan bagi menangani isu penyelewengan dan penyeludupan diesel bersubsidi selain mengenal pasti sama ada wujud kelemahan daripada program yang dilaksanakan.

Hasan berkata menerusi prosiding itu, PAC dimaklumkan KPDNKK bahawa trend jualan diesel bersubsidi meningkat 184 peratus dari 3.03 bilion liter pada 2009 kepada 8.61 bilion liter pada 2013.

"Peningkatan ini tidak selari dengan jumlah permintaan pengguna industri perikanan dan tiada penjelasan yang diberikan oleh pihak KPDNKK. PAC memandang serius perkara ini kerana ia boleh menjurus kepada ketirisan berbilion ringgit wang kerajaan," katanya.

-- BERNAMA