KUALA LUMPUR: Memanglah seronok bila berkumpul untuk makan besar pada malam Tahun Baharu Cina dengan pelbagai juadah yang simbolik dengan perayaan termasuk makanan laut, ladu, popia, niangao (kek beras pulut), tangyuan (bebola nasi manis) dan 'mi panjang umur'.

Ditambah pula dengan buah limau serta minuman panas dan sejuk.

Cuma perlulah berhati-hati dengan apa yang dimakan supaya tidak mengalami senak atau kembung perut untuk 'shoushui' iaitu berjaga lewat sehingga tengah malam, sebagai sebahagian daripada tradisi menjelang Tahun Baru Cina.

Amalan 'shoushui' masyarakat Cina sebelum ini adalah untuk berjaga sepanjang malam tetapi kini ramai yang hanya berjaga sehingga mercun dan bunga api habis dibakar pada tengah malam.

Ketika berjaga dan sedang menikmati masa santai dengan keluarga, perut mula berbunyi dan berasa mual dan tidak selesa, Perut kembung dan berasa pedih ulu hati dan paling dibimbangi sudah tentunya keracunan makanan.


PUNCA DAN GEJALA

Gejala keracunan makanan termasuk cirit birit serta muntah dan menurut Datuk Dr Zulkifli Ismail, perunding pediatrik dan kardiologi kanak-kanak, KPJ Damansara, mereka yang mengalaminya mungkin juga demam.

"Pesakit juga berasa loya yang menghalang mereka untuk makan atau minum. Bagi kanak-kanak, keadaan mereka akan menjadi lebih teruk sekiranya muntah melampau, " beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.

Lazimnya, jelas beliau, keracunan makanan berlaku akibat daging yang tidak dimasak dengan secukupnya dan kerang yang dijangkiti bakteria 'Salmonella'.

'Salmonella' adalah patogen yang sering menyebabkan gejala berkaitan makanan seperti demam, pening, loya, muntah, sembelit dengan cirit birit serta kekejangan perut.

Beliau menjelaskan, perkataan Salmonella sebenarnya digunakan untuk kedua-dua bakteria dan penyakit yang berpunca daripadanya.

Kebanyakan orang, katanya, merujuk kepada Salmonella sebagai keracunan makanan, kerana sumber jangkitan biasanya daripada makanan dengan gejala muncul dalam masa 12 hingga 72 jam.

Virus juga, tambah beliau, boleh menyebabkan cirit birit serta muntah dan adakalanya selsema juga mempunyai gejala cirit-birit serta muntah, selain demam, hidung berair dan batuk.

Satu lagi sumber keracunan makanan ialah air minuman yang tercemar oleh 'Escherichia coli' (E. coli), 'Staphylococcus' dan bakteria atau virus lain, sekiranya air berkenaan tidak dimasak atau ditapis.

"Kita ada mendapat kes spesies Salmonella yang menyebabkan keracunan makanan dengan gejala cirit birit, muntah dan demam.

"Salmonella bukan kepialu pula sering ditemui dalam daging yang dibiar terdedah untuk tempoh yang lama juga dalam telor tercemar yang dimasak dan Staphylococcus juga boleh menyebabkan keracunan makanan, " katanya.

Salmonella juga, katanya, boleh merebak menerusi makanan yang disediakan oleh seseorang yang mempunyai 'gastroenteritis rotavirus'.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini melaporkan kes keracunan makanan di negara ini masih terkawal dengan sebanyak 288 kes dilaporkan pada tahun 2020 dan 123 kes sehingga September 2021.

KKM juga sedang melaksanakan pelbagai program Kualiti dan Keselamatan Makanan, bagi menjamin makanan serta bahan mentah di pasaran tempatan mematuhi Akta Makanan 1983.


RAWATAN UNTUK KERACUNAN MAKANAN

Bagi mereka yang kurang bernasib baik mendapat keracunan makanan pada sambutan Tahun Baharu Cina, Dr Zulkifli menasihatkan mereka mengambil penyelesaian garam rehidrasi oral untuk mengimbangkan elektrolit dalam badan mereka akibat kekurangan air dan garam dalam badan.

Bahaya paling utama dalam kes keracunan makanan adalah dehidrasi atau kekurangan air dalam badan dan untuk itu, amat penting pesakit minum dan ambil makanan, antaranya yang lembut, rendah serat dan tidak pedas.

Beliau juga menasihatkan pesakit supaya menghentikan semua pengambilan minuman beralkohol dan minuman ringan yang menyebabkan perut kembung dan memburukkan lagi cirit birit.

"Untuk cirit birit, ada ubat anti cirit birit bagi orang dewasa tetapi ini bukan untuk kanak-kanak.

"Ubat untuk munta juga perlu digunakan dengan sebaik-baiknya untuk kanak-kanak dan diambil mengikut berat badan seseorang kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata, sekiranya usaha berkenaan tidak berkesan, maka tiada pilihan selain menghidrat semula secara intravena menerusi talian intravena.

"Bagi kanak-kanak, kadar titisan dikira berdasarkan berat seseorang kanak-kanak serta tahap dehidrasi yang perlu diperbetulkan. Ada doktor akan memberikan probiotik khusus untuk cirit birit, tetapi ini bergantung kepada pilihan individu," katanya.

Menurut beliau, KKM menjadikan mandatori kepada doktor untuk melaporkan sebarang kes keracunan makanan.

"KKM akan menjalankan siasatan dan pengesanan kontak. Restoran yang didapati menjadi sumber kes keracunan makanan akan dikenakan tindakan dan mungkin juga diarah tutup untuk kerja pembersihan sekiranya kes keracunan tinggi.

"Pada pandangan saya, KKM perlu memantau perkhidmatan penghantaran makanan kerana mereka pengedar dan orang perantaraan antara peniaga dan pelanggan, yang mungkin menjadi sumber jangkitan kepada inidividu yang menerima makanan, " katanya.


KEBERSIHAN PENYEDIAAN MAKANAN

"Semasa musim perayaan, ramai yang akan makan di luar di restoran dan gerai. Berhati-hati dengan makanan mentah dan separuh masak, terutamanya daging seperti ikan, daging lembu, ayam dan babi.

"Sayur yang belum dimasak perlu dicuci dengan sebaik-baiknya jika dihidang segar sebagai salad. Berhati-hati juga dengan air yang dihidangkan, hanya minum jika air itu dimasak atau menerusi proses tapisan yang boleh dipercayai," kata Dr Zulkifli, sambil menambah, kebanyakan kes keracunan makanan dapat dicegah dengan cara memasak dan pengendalian makanan yang betul.

Sementara itu, Chef Eksekutif Sunway Resort, Peter Lee Tong Siong memberitahu Bernama, ketika menyediakan juadah untuk makan besar pada malam Tahun Baru Cina, pastikan daging mentah, terutamanya daging ayam, diletak jauh daripada makanan lain.

"Jangan simpan daging ayam mentah dan produk makanan laut dengan hasil segar untuk mengurangkan pencemaran silang. Cuci semua hasil segar sebelum dimasak dan guna perkakas memasak yang berbeza untuk penyediaan daging dan hasil segar.

"Jangan biarkan air daging menitis ke atas makanan lain, guna papan pemotong dan pisau yang berbeza untuk penyediaaan daging. Cuci tangan selepas menyentuh daging mentah bagi mengelakkan makanan lain, " katanya.

Untuk makanan laut pula, Peter Lee mengingatkan ia perlu disimpan di dalam peti sejuk atau dibekukan dengan segera selepas dibeli dan dimakan dalam tempoh dua hari jika disimpan di dalam peti sejuk.

"Pilih ikan yang matanya cerah bukan berwarna merah. Kebiasannya ikan bermata merah berbau busuk dan tidak segar.

"Jika mahu membeli kerang, tiram atau kupang, belilah di pasar yang bereputasi. Pastikan ada bekas sejuk untuk menyimpan makanan laut. Jika tinggalkan barangan runcit yang dibeli di dalam kereta, tindakan ini hanya merosakkan kualiti barangan berkenaan dan mungkin menjadikan makanan laut yang dibeli, tidak selamat untuk dimakan, " katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya makanan laut yang dibeli disimpan seberapa segera di dalam peti sejuk (suhu antara 0-3 celcius) setibanya di rumah serta dibungkus dengan plastik yang melekat atau di simpan di dalam bekas kedap udara.

Menurut beliau lagi, makan makanan laut mentah atau sebarang daging mentah mempunyai risiko keselamatan makanan lebih tinggi berbanding makan makanan yang dimasak dengan secukupnya.

"Untuk hidangan 'Yee Sang', guna ikan beku yang dikomersialkan seperti salmon, kod atau ikan laut yang lain. Ikan beku komersial ini biasanya disimpan dalam suhu yang cukup sejuk untuk membunuh parasit dalam ikan mentah.

"Bagi mengekalkan kesegarannya, bolehlah perah jus lemon, limau nipis atau cuka untuk mengurangkan bau hanyir ikan, " katanya.

-- BERNAMA



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!