Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata ekspo selama lima hari anjuran Bank Rakyat itu juga dapat meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan jalinan perniagaan menerusi pemasaran produk halal kepada masyarakat.
"Ekspo ini juga menjadi platform strategik yang memberi peluang kepada pemain industri dan masyarakat untuk meneroka produk pelancongan yang ditawarkan dengan promosi menarik, sekali gus merancakkan industri pelancongan tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian ekspo itu yang turut dihadiri timbalannya Datuk R. Ramanan dan Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak di sini semalam.
Berkonsepkan beli-belah tanpa tunai, ekspo itu menampilkan lebih 150 agensi pelancongan dan perniagaan makanan halal seperti Tourism Malaysia, Islamic Tourism Centre, Ezydurian, Mamasab dan Mak Jenny.
Bank Rakyat turut menawarkan kemudahan pelan tanpa ansuran sehingga 36 bulan menerusi Kad Kredit-i Bank Rakyat bagi pembelian pakej pelancongan yang ditawarkan agensi terlibat dalam ekspo itu.
Sementara itu, Mohd Irwan berkata penganjuran ekspo itu mencerminkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam menggalakkan amalan inisiatif tanpa tunai.
"Inisiatif ini juga manifestasi kita dalam menyokong dan merancakkan industri pelancongan dan makanan halal dalam negara," katanya.
-- BERNAMA