KUALA LUMPUR: Wanita yang dikenali dengan nama Zainab Mohd Salleh yang didakwa sebagai isteri kedua kepada Datuk Dr Abd Latiff Ahmad menyerahkan notis tuntutan permohonan maaf terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Notis Tuntutan oleh Zainab, 56, itu dikeluarkan menerusi Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid, pada Khamis.

Astro AWANI difahamkan, ini merupakan kali pertama Zainab tampil kepada media melalui peguam untuk memberikan penjelasan dan mengambil tindakan terhadap Rafizi.

Berdasarkan notis tuntutan, Zainab yang juga ahli perniagaan mendakwa, Rafizi melalui beberapa laman sesawang dan media sosial yang dimiliki atau dalam kawalannya mengaitkan dirinya sebagai isteri kepada Dr Abd Latiff  yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang didakwa terpalit kontroversi isu projek kapal tempur persisir (LCS).

NOTIS TUNTUTAN

Astro AWANI berkesempatan melihat notis tuntutan tersebut yang mengaitkan beberapa artikel dimuat naik di laman sesawang atau blog Rafizi Ramli bertarikh 22 Ogos hingga 23 Ogos dan 25 hingga 26 Ogos 2022 serta 1 November 2022 telah mendakwa Zainab adalah isteri kedua kepada Dr Abd Latiff.

Antara artikel disiarkan dalam laman sesawang atau blog Rafizi Ramli bertajuk ''Syarikat Palsu Dimiliki Keluarga Menteri', 'Dr. Latiff dan Zainab Memiliki Bersama Subkontraktor Projek Pertahanan Negara', 'Konon Bekal Alat Gantian, Tapi Boleh Beli Dekat Mydin, Latiff Belum Nafi Zainab (tarikh lahir 30 April 1967) Isteri Kedua Dia', 'Latiff Ahmad Perlu Saman Auditor, BHIC dan Saya' dan 'Rakan Niaga Latiff Ahmad Dinamakan Sebagai Penerima Bayaran Palsu Dalam Progek SGPV.

Zainab Mohd Salleh ditemani peguamnya, Yusfarizal Yusoff.

Dalam notis tuntutan tersebut juga mengaitkan satu video di aplikasi Tik Tok bertajuk 'Dari Jho Low ke Jhay Nab' yang mendakwa Zainab merupakan isteri kepada Dr Abd Latiff  dan lahir pada 30 April 1967.

Peguam Zainab, Yusfarizal Yussoff berkata, anak guamnya mengambil keputusan untuk tampil menjelaskan perkara tersebut bagi membersihkan namanya.

Jelasnya, Facebook dengan akaun nama Rafizi Ramli yang membuat naik artikel-artikel berkenaan bertarikh 22 hingga 26 Ogos dan 1 November secara keseluruhan mendapat 60,200 tanda suka, dikongsikan 7,876 kali dan 8,658 komen, setakat tarikh pemfailan tuntutan itu.

"Twitter pula dengan akaun Rafizi Ramli yang menerbitkan artikel-artikel berkenaan juga mendapat keseluruhan 6,402 ciapan semula, 11,701 tanda suka dan 535 komen.

"Manakala video-video yang disiarkan di Tik Tok dengan akaun Rafizi Ramli berkaitan dengan anak guam kami turut mendapat 13,600 tanda suka, 1,114 komen dan 1,538 perkongsian serta 475 jumlah simpanan.

DOKUMEN 'REVIEW OF LCS.......PROGRAMME' BUKAN LAPORAN FORENSIK AUDIT

Tampil menjelaskan perkara tersebut Yusfarizal memaklumkan, anak guamnya menegaskan, artikel dan video yang dimuat naik itu adalah suatu pembohonan, tohmahan jahat dan penyelewengan yang direka berdasarkan fakta yang tidak sah serta dimanipulasi.

Jelasnya lagi, dokumen bertajuk 'Review of LCS....Programme' disediakan oleh Alliance bagi tujuan kegunaan dalaman syarikat BHIC adalah draf yang tidak ditandatangani dan bukan laporan forensik audit serta bukan bertujuan untuk disebar kepada orang awam.

Malah, katanya, beberapa muka surat di dalam dokumen tersebut juga telah digelapkan (redacted).

"Dokumen tersebut yang diaudit Alliance secara jelas mempunyai 'Notice to Reader' yang menyatakan mereka bergantung kepada representasi lisan dan dokumen diberikan pihak yang terlibat dengan isu terakit di mana Alliance tidak dapat menilai keesahan representasi diberikan.

"Oleh itu, kandungan di dalam dokumen tersebut menyatakan anak guam kami adalah isteri kepada Dr Abd Latiff adalah tidak benar dan dimanipulasi yang selanjutnya digunakan untuk memfitnah Zainab.

Zainab Mohd Salleh akhirnya tampil kepada media melalui peguamnya.

ZAINAB TIADA SUAMI / BEKAS SUAMI BERNAMA ABDUL LATIFF AHMAD

Yusfarizal yang bercakap bagi pihak Zainab berkata, anak guamnya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan individu bernama Abdul Latif Ahmad.

"Anak guam kami tidak mempunyai suami atau bekas suami yang bernama Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad malah beliau tidak mempunyai sebarang hubungan dengan Dr Abd Latiff sama ada secara peribadi atau secara profesional," jelasnya.

"Ia secara jelas menfitnah anak guam kami dan merendah-rendahkan maruahnya di mata masyarakat sekali gus menjejaskan reputasinya dalam kapasiti peribadi atau profesional," tambah beliau.

Antara video yang dimuat naik akaun Tik Tok dengan nama Rafizi Ramli yang mendakwa Zainab Mohd Salleh merupakan isteri Dr. Abd Latiff Ahmad.

KENYATAAN RAFIZI DIKELUARKAN MENJELANG PRU15

Yusfarizal menambah, Zainab mendakwa, tindakan Rafizi mengeluarkan kenyataan-kenyataan fitnah itu berniat jahat dan didorong oleh motif yang tidak wajar atau lebih sekadar satu sensasi bagi menjatuhkan reputasinya demi kepentingan peribadi atau politik.

"Ia dibangkitkan dalam tempoh menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang jelas merupakan sebahagian daripada bahan kempen.

"Tiada sebarang pemeriksaan latar belakang secara teliti berkenaan identiti sebenar yang dikaitkan dengan Dr Abd Latiff dan bertindak secara melulu mendedahkan maklumat-maklumat sulit yang jelas mencerobohi hak peribadi anak guam kami.

ZAINAB BERI MASA 14 HARI KEPADA RAFIZI MOHON MAAF

Sehubungan itu, Yusfarizal menegaskan anak guamnya Zainab memberikan tempoh 14 hari kepada Rafizi untuk mengeluarkan aku janji untuk berhenti daripada terus mengungkap, mengarang, menerbitkan atau menerbitkan kenyataan serupa terhadapnya.

"Rafizi juga dituntut mengeluarkan draf permohonan maaf dalam kenyataan media bagi tujuan penerbitan dan mencadangkan jumlah ganti rugi yang munasabah," ujarnya.

LATAR BELAKANG KES

Pada 1 September 2022, Dr Abdul Latiff dilaporkan membuat laporan polis terhadap Rafizi yang didakwa memfitnahnya dalam isu berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog dan menyiarkan semula di Facebook (FB), Twitter dan Tiktok.

Dr. Abd Latiff Ahmad pernah menjela.skan isterinya tiada bernama Zainab Mohd Salleh

Ia berkaitan kenyataan yang menyebut Dr Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

Pada 22 Ogos 2022, Dr Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan dilaporkan menafikan wanita yang dikaitkan dalam siasatan projek LCS adalah isterinya.

Dr Abd Latiff dilaporkan berkata, beliau juga bersedia memberikan kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa terhadap isu itu.