KUCHING:Hari ini, empat tahun lalu Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg melangkah masuk ke Wisma Bapa Malaysia, berbaju kemeja putih dan berkot hitam, bagi menggalas tanggungjawab besar sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Dua hari sebelum itu, Abang Johari menerima berita duka - Ketua Menteri Sarawak kelima, Pehin Sri Adenan Satem menghembus nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak akibat komplikasi jantung.
Abang Johari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri keenam, menggantikan Tok Nan pada 13 Januari 2017.
Sepanjang duduk di tingkat 22, bangunan sekretariat negeri Sarawak itu, banyak perubahan yang telah beliau terajui untuk memakmurkan negeri Bumi Kenyalang itu.
Malah, pengalaman dan idea baharu digabung-jalin untuk menukar negeri ini kepada negeri maju berpendapatan tinggi, jauh daripada naratif kemiskinan yang jika tidak keterlaluan, ‘native’ dengan Sarawak.
Jadual Abang Johari atau lebih mesra dengan panggilan, Abang Jo sering padat dengan komitment kerajaan dan rakyat negeri Sarawak yang tercinta.
Namun, beliau sempat meluangkan masa dengan wakil Astro AWANI, RUDI AFFENDI KHALIK untuk mendalami misi dan manifestasi pemimpin berusia 71 tahun itu.
Ikuti sedutan wawancara khas Abang Johari bersama Astro AWANI sempena empat tahun pentadbiran Abang Jo sebagai Ketua Menteri Sarawak.
ASTRO AWANI: Genap empat tahun atau 1440 hari menjadi Ketua Menteri, bagaimana Datuk Patinggi melihat perjalanan yang ditempuhi sejauh ini?
ABANG JOHARI: Alhamdulillah, apabila saya mengambil alih daripada Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem, sebenarnya saya telah berkata kepada diri bahawa saya akan meneruskan usaha-usaha yang telah dirancangkan beliau. Tambahan pula waktu ini kita baharu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN). Malah saya adalah salah seorang daripada tim Tok Nan. Apa yang telah kita janjikan dalam manifesto PRN tersebut adalah apa yang telah kita kupas bersama dan menjadi agenda pembangunan.
Justeru, walaupuan Tok Nan sudah tiada, saya tetap meneruskan usaha tersebut. Tetapi terpaksa mengubah sedikit haluan dasar dari sudut ekonomi kerana saya nampak bahawa sepanjang pengalaman saya dalam kabinet Sarawak iaitu kira-kira 40 tahun, negeri kita mempunyai satu pendekatan yang baik dan juga sumber yang boleh kita tambah nilai.
Dan untuk kita membangunkan seluruh negeri khasnya masyarakat di luar bandar walaupun kita sudah lebih 57 tahun merdeka, saya nampak bahawa kita tidak mempunyai keperluan asas yang merupakan satu keutamaan yang harus kita beri kepada rakyat seperti bekalan air dan elektrik selain pendidikan yang baik. Satu lagi ialah infrasktruktur yang boleh menghubungkan kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk. Semua ini harus kita tingkatkan.
Perkara kedua adalah berkaitan masa depan anak Sarawak, mestilah cerah. Ekonomi yang kita bangunkan hendaklah dapat mengisi keperluan generasi kita yang sudah mempunyai pelajaran. Ini kerana jika kita ada mengeluarkan bijak pandai, tetapi ekonomi masih di bawah, mereka tidak dapat berkhidmat dalam negeri ini.
Sebab itu kita nampak banyak anak Sarawak bekerja di luar negeri. Ini adalah dua dasar pokok. Sebab itu pada tahun 2017, saya terus lancarkan Dasar Ekonomi Digital dan keduanya, saya terus tubuhkan beberapa institusi strategik bagi kita memajukan ekonomi ke tahap yang telah saya katakan tadi. Bermakna daripada 2017 hingga ke hari ini, saya nampak bahawa perancangan besar saya telah dapat saya laksanakan asasnya.
Di samping itu, sudah tentu ia memerlukan peruntukan, dengan kita mempunyai fleksibiliti dari sudut dana untuk membangunkan apa yang telah saya sebutkan tadi. Sebab itu dalam masa yang sama saya melihat apakah peruntukan yang ada dalam perlembagaan kita, yang akan memberikan kelebihan kepada Sarawak dan ini telah saya laksanakan.
Kerana kita menghadapi masalah berkaitan sumber kita sendiri dan akhirnya saya telah memberanikan diri untuk membawa perkara itu ke mahkamah dan akhirnya ia berpihak kepada kita. Maka kita ada dana untuk diterjemahkan kepada impian negeri ke satu keadaan yang lebih baik dan inilah apa yang telah berlaku dalam beberapa tahun ini.
ASTRO AWANI: Datuk Patinggi menyasarkan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030. Apakah cabaran utama yang dihadapi setakat ini selain daripada kewangan?
ABANG JOHARI: Saya rasa kita tidak mempunyai banyak halangan. Hanya respon rakyat itu sendiri sama ada dapat menerima satu lonjakan yang begitu tinggi dalam kita mengubah ekonomi negeri. Maka apabila saya lancarkan ekonomi digital, banyak orang agak skeptikal. Tetapi saya yakin bahawa kalau tidak dicuba, kita tidak akan tahu untuk mengubahnya begitu juga dengan kedudukan masyarakat kita.
Sebab itu infrasktruktur digital yang menjadi masalah kerana ia mengambil masa … antaranya dalam membangunkan menara serta kehendak untuk seiring dengan teknologi terkini. Malah pada waktu sekarang, tidak banyak berkait dengan fiber optik, tetapi lebih kepada clouding dan teknologi ini berubah begitu cepat.
Inilah kekangan kita dari sudut aset, tetapi saya rasa setakat ini, apabila saya menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) kita ada pengkhususan dalam hendak mencari aset atau peralatan serta teknologi baharu bagi kita memperkenalkan ekonomi digital.
Kalau dari sudut konsep kefahaman, saya fikir anak Sarawak boleh. Malah baru-baru ini, sebuah syarikat dari negeri ini telah muncul juara di peringkat kebangsaan setelah membangunkan aplikasi untuk mendapatkan data jalan-jalan kita yang rosak. Dari sudut seni persembahan atau animasi, pelajar sekolah rendah Sarawak pun telah menang di Brazil. Ini adalah salah satu petanda bahawa kita mempunyai bakat dan hanya perlu ditingkatkan.
ASTRO AWANI: Aspirasi untuk tahun depan dan tahun-tahun mendatang?
ABANG JOHARI: Prinsip dan konsep pembangunan telah saya buat pada tahun 2017 hingga 2020. Manakala bermula 2021 hingga 2025 adalah masa untuk kita melaksanakan semua. Ini termasuk jalan raya, bekalan elektrik dan air. Saya nampak Skim Elektrifikasi Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) sangat berkesan dan mengikut angka-angka yang telah diberikan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB), mungkin kita boleh mendapatkan bekalan elektrik ke rumah panjang serta kampung-kampung pada tahun 2023 berbanding 2025, disebabkan teknologi yang ada sekarang.
Begitu juga dengan bekalan air … yang saya nampak pada tahun 2023 atau 2024 dapat laksanakan. Kalau asas berkenaan sudah ada, bermakna masyarakat di luar sana yang berkecimpung dalam apa sahaja sektor sama ada pertanian, pelancongan, perkhidmatan dapat memainkan peranan dalam perubahan ekonomi kita.
Jadi, 2021 adalah tahun yang pertama kita laksanakan semua projek ini hingga tahun 2025. Pada masa sama kita menyediakan tenaga kerja dan pembangunan bakat yang akhirnya di antara tahun 2025 hingga 2030, kita menuju ke arah apa yang telah kita impikan.
ASTRO AWANI: Dengan perancangan tersebut, mungkin 2030 akan tiba lebih awal berbanding yang kita rancang?
ABANG JOHARI: Saya tidak berani cakap kerana saya percaya kita jangan takbur. Tetapi kita hendaklah merancang dengan bijak, kerana saya nampak kalau dirancang dengan bijak mungkin ia dapat dicapai lebih awal dan ekonomi Sarawak menjadi 'pusat keberkesanan' kepada negara Malaysia kerana kita mempunyai sumber dan bakat.
Bermakna ini sudah menjadi satu daripada tarikan dan pelabur akan datang. Dan mungkin akan melihat kawasan yang dapat atau boleh mereka bangunkan serta mengeluarkan barangan yang dapat diterima oleh pasaran tempatan. Malah lokasi kita strategik. Kalau kita mempunyai dasar yang sedemikian, pelabur akan secara automatik datang.
Apa yang perlu sekarang adalah kerjasama dari sudut pembangunan bakat kita dengan institusi pembangunan tinggi. Saya sangat yakin kalau Sarawak dapat menarik minat pelabur, kita akan menjadi satu kawasan di negara Malaysia yang boleh mengembangkan ekonomi negara.
ASTRO AWANI: Untuk memungkinkan itu tercapai, apa nasihat atau seruan Datuk Patinggi khususnya untuk golongan muda?
ABANG JOHARI: Satu daripadaya adalah kita mesti mempunyai kestabilan serta politik yang kukuh kerana jika wujud suasana yang menyebabkan orang sangsi, kita tidak dapat menarik mereka (pelabur) datang. Kedua, generasi muda yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang baharu dan sekarang ini saya rasa ia sudah berlaku, akan kembali.
Contohnya, Sarawak Metro yang akan mula membangunkan pembangunan Aliran Transit Automasi (ART); (kesannya) banyak anak Sarawak yang berkerja di luar negara kini sudah kembali. Kalau kita tidak ada pendekatan untuk menaikkan taraf pengangkutan awam, mereka ini tidak akan datang.
Begitu juga dengan Sarawak Petchem yang menyaksikan banyak anak muda kita yang bekerja dengan Petronas, Shell kini kembali dan bekerja dengan syarikat berkenaan. Ketiga, saya nampak pertanian kita juga telah menarik mereka dalam bidang tersebut kerana mereka nampak sektor ini membawa pulangan ekonomi yang besar. Ini bermakna sistem ekonomi kita sudah meningkat dan orang sudah tentu tidak bekerja di Sarawak jika sistem kita masih di bawah.
Dan pelaburan asing berkait ekonomi digital … kalau kita dapat menarik pusat data ke sini, tentu sekali mereka yang ada latar belakang cyber analytics, data analytics, pakar program malah dalam (pakar) sektor perbankan akan balik bekerja dengan kita. Bermakna apa yang perlu ialah ekonomi moden untuk kita memberi peluang kepada orang muda. Kerana pelajaran mereka ini lain daripada kita dahulu.
Saya nampak masa depan kita begitu cerah dan kalau bercakap mengenai kestabilan politik, mesti ada kefahaman yang baik antara masyarakat berbilang kaum dan agama kerana berkongsi budaya membawa manfaat kepada semua pihak. Seperti moto saya dan kerajaan 'Sarawak for all, all for Sarawak'.
ASTRO AWANI: Selepas Sarawak Metro, Sarawak Petchem dan TVS, mungkin ada berita baik lain untuk rakyat Sarawak selepas ini?
ABANG JOHARI: Yang setakat ini, saya sedang memikir atau hendak melaksanakan capaian liputan Internet di luar bandar kerana kita memerlukannya di peringkat sekolah dan masyarakat. Saya mempunyai cara baharu, namun terlalu awal untuk saya umumkan hari ini. Insya-Allah akan saya umumkan dalam masa terdekat. Ini akan memberikan kawasan-kawasan luar bandar dengan kemudahan jaringan Internet atau jalur lebar tanpa wayar (wifi). Dan ini akan berlaku dan berkembang dalam tahun 2021 ini, yang pasti akan memberikan satu keadaan baharu kepada masyarakat.
Selain itu, kita bina TVS sebagai usaha untuk memberi peluang kepada mereka dalam bidang seni persembahan, jurusan komunikasi serta mereka yang berbakat kerana ia sebagai kerangka atau platform untuk kita melonjakkan ekonomi dan pada hujungnya, digunakan untuk memperbaiki masyarakat.
ASTRO AWANI: Di sebalik segala usaha untuk melakukan transformasi dari segi ekonomi sosial dan sebagainya, kadar kemiskinan kita masih lagi dalam lingkungan 16 peratus. Apakah tindakan untuk mengatasinya?
ABANG JOHARI: Kemiskinan ini kalau kita lihat, lazimnya berpunca daripada tidak ada ilmu. Kalau anda miskin ilmu, anda akan miskin. Tetapi kalau dapat memberikan ilmu, ia akan mengubah nasib. Oleh sebab itu, tekanan kita dari sudut ilmu pengetahuan pendidikan untuk mengurangkan kadar kemiskinan.
Sebab itu saya masih berpegang pada falsafah Cina, jangan memberi ikan tetapi ajarkan mereka mengail ikan kalau kita hendak mengubah kemiskinan. Malah banyak cerita di seluruh dunia yang orang miskin menjadi kaya kerana mempunyai ilmu.
Kita tidak boleh hanya menjadi jaguh kampung dan harus keluar dari ‘rumah’ untuk mencari ilmu. Bermakna orang miskin ini kalau anak dia bijak, hidup akan bertukar tetapi yang penting adalah pendidikan.
Kedua adalah dana untuk mendidik. Bermakna kita terpaksa mencari dana untuk menambah biasiswa dan pinjaman kepada mereka ini. Jadi kita di Sarawak mempunyai beberapa institusi pengajian dan digunakannya untuk mengubah nasib orang kampung. Dan masyarakat ini kalau diberi peluang, mereka boleh berubah.
Kemiskinan pada padangan saya berpunca daripada kapasiti dan juga ilmu.
ASTRO AWANI: Jadi menjelang 2030, kita akan dapat menghapuskan kemiskinan?
ABANG JOHARI: Saya berasakan kemiskinan tidak dapat dihapuskan kerana definisi kemiskinan ini banyak. Ada kemiskinan bandar, miskin daripada ilmu, miskin disebabkan malas. Saya melihat kemiskinan ini satu matriks, tetapi asalkan mereka ada pekerjaan, ada pendapatan... Ia sangat subjektif. Hujah saya secara ekonomi, miskin ialah jika anda tidak ada asset. Tetapi kalau ada aset, adakah itu ditakrif miskin? Kerana dalam buku akaun, mesti ada aset dan liabiliti. Kalau dari sudut wang tunai tidak banyak, tapi ada tanah. Bolehkah ini ditakrifkan sebagai miskin? Jadi ini sangat subjektif, kerana orang kampung setidak-tidaknya ada sebidang tanah. Kenapa dia miskin, sebab tidak ada tunai. Kenapa tidak ada tunai, sebab tanah tidak diusahakan. Tapi kalau dia ada ilmu, gunakan tanah iaitu asetnya, maka ini akan memberi pendapatan kepada mereka. Dari perspektif ekonomi, kita perlu melihat secara menyeluruh.
Sebab itu saya kata pertanian kita mesti pertanian moden. Setidak-tidaknya anaknya tahu IOT, dan dia gunakan hidroponik, fertigasi. Itu sudah menjana pendapatan. Jadi ini pada asasnya ilmu.
Sebab itu untuk membina generasi baru yang berilmu, kita bangunkan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs), Sekolah Antarabangsa termasuk institusi kita, Kolej Teknologi Lanjutan Antarabangsa Sarawak (iCATS). iCATS sudah dinaik taraf kepada kolej universiti. Umpamanya saya telah berjumpa dengan Persatuan Orang Pekak, mereka mahu dilatih sebagai juruvideo.
Saya kata mesti ada sijil, tidak boleh buat begitu sahaja. Maka perlu bekerjasama dengan iCATS. Kalau ada sijil, maka majikan boleh ambil orang pekak. Bagi saya, dasar sosial, ekonomi dan politik kita disepadukan dan saya yakin kita boleh. Umpamanya murid tahun 5 Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Serian yang menang di 'Festival de Cinema Escola de Alvorada' (FECEA) Brazil; ceritanya sangat ringkas tetapi murid itu ada kreativiti.
ASTRO AWANI: Tahun lalu sempena ulang tahun ketiga sebagai Ketua Menteri, Datuk Patinggi telah melancarkan program Sarawakku Sayang. Bagaimana perkembangan program tersebut?
ABANG JOHARI: Berkaitan Sarawakku Sayang ini … sebenarnya rakyat Sarawak hendaklah melihat apa yang ada di negeri kita dan bagaimana kita hendak membangunkan negeri kita. Umpamanya dasar ekonomi digital waktu kita menghadapi Covid-19. Kita nampak sudah bersedia secara spontan bagi menghadapi masalah ekonomi masyarakat kita. (Mereka) bekerja, berniaga semuanya secara dalam talian.
Konsep Sarawakku Sayang ini termasuklah bantuan, serta pembangunan luar bandar dan dalam bandar. Dalam bandar ini merangkumi pengangkutan awam, kerana kita boleh membangunkan perumahan. Dan perumahan pula, dasar kita sekarang, orang boleh meminjam untuk membeli rumah daripada Mutiara Mortgage & Credit, faedah hanya satu peratus. Oleh sebab kita ada dana, jadi kita gunakan untuk bantuan, dalam kita menyediakan perumahan yang dapat dibeli oleh masyarakat kita yang berpendapatan rendah. Jadi, ini satu daripada usaha Sarawakku Sayang.
BACA: Sarawak umum pakej BKSS 3.0 bantu ekonomi rakyat
ASTRO AWANI: Berdepan dengan COVID-19, tentu sesuatu yang amat mencabar. Apakah pengajaran yang diperolehi sebagai pemimpin dan bagaimana melangkah ke depan untuk memastikan Sarawak terus selamat?
ABANG JOHARI: Sebab itu saya rasa kita mengendalikan masalah …jangan tergopoh-gapah, kerana kita harus menjangkakan sesuatu yang tidak dijangka. Bermakna apabila melaksanakan beberapa pendekatan yang hendak kita lakukan, kita mesti ada juga senario di mana kalau ini berlaku secara tidak disangka, apa kita hendak buat. Umpamanya pandemik Covid-19, orang tidak sangka tetapi waktu pandemik datang, kita sudah ada persediaan seolah-olah kita rasakan pandemik akan datang.
Sebab itu apabila saya mengambil alih daripada Tok Nan, saya rasa Sarawak harus bergantung kepada diri sendiri, jangan bergantung sangat kepada orang lain. Kita sendiri yang kerja. Apabila pandemik datang, kita nak usahakan supaya rakyat kita dilindungi. Mula-mula Kerajaan Persekutuan kata ini polisi nasional, Sarawak mesti ikut termasuk kuarantin. Saya kata tidak, kerana dalam perlembagaan kata di bawah penyakit berjangkit adalah autonomi. Kita boleh menggunakan kuasa kita untuk melaksanakan kuarantin mengikut keadaan kita.
Apabila kita rujuk pada itu, sebab itu kita tentukan sendiri kuarantin 14 hari, bukan Kuala Lumpur. Walaupun pada dasarnya memang begitu, tetapi kita katakan keadaan Sarawak berkehendakkan kuarantin khas, kita gunakanlah kuasa yang ada. Sebab itu saya kata tadi, anda mesti bersedia untuk sesuatu yang tidak dijangka tetapi kena lihat juga kekuatan sendiri. Jadi alhamdulilah ketika ini kita bolehkan sikit mengawal Covid-19.
ASTRO AWANI: Sarawak mendapat pujian daripada Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Komen?
ABANG JOHARI: Kita cuba yang terbaik. Kita ucap terima kasihlah. Tetapi sampai sekarang pun, kita hendak menggunakan kuasa (untuk tangani masalah ini). Umpamanya antara 1 hingga 7 Januari, kita ada 170 pendatang asing tanpa izin (Pati). Kita ada Op Benteng, jadi memandangkan operasi ini di bawah kerajaan pusat, saya mintalah pasukan keselamatan bergerak lebih aktif supaya kita dapat menahan mereka selepas keluar dari sempadan. Kita tahu sempadan kita panjang, saya berbincang dengan Tentera Darat Malaysia (TDM). Mereka kata berkehendakkan aset setidak-tidaknya motosikal Scrambler untuk pergi ke laluan tikus. Jadi saya katalah Sarawak akan bantu beli motosikal Scrambler iaitu lebih kurang 10 ke 12 buah.
ASTRO AWANI: Selain daripada instrumen kerajaan, bagaimana peranan rakyat Sarawak untuk membendung COVID-19?
ABANG JOHARI: Saya berterima kasih kepada rakyat Sarawak, sangat bertanggungjawab. Mereka pun jaga diri sendiri tetapi kes yang kita ada ini semua import. Tapi orang Sarawak telah membudayakan pemakaian pelitup muka.
ASTRO AWANI: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan bahawa Sarawak boleh mengadakan pilihan raya, biar pun COVID-19 masih melanda?
ABANG JOHARI: Bagi pilihan raya, kita tidak ada pilihan kerana penggal hampir tamat. Kalau Pengerusi SPR kata demikian, saya serahkan kepada merekalah.
ASTRO AWANI: Apakah kebimbangan utama Datuk Patinggi, apabila buat pertama kali menerajui GPS untuk Pilihan Raya Negeri ke-12 ini?
ABANG JOHARI: Kita melihat masa depan. Rakyat akan menilai apa yang kita buat dan juga apa impian mereka untuk masa depan. Di bawah kepimpinan saya, saya telus. Saya juga menekankan kepada rakyat untuk sama-sama membangunkan negeri. Memang dalam amalan demokrasi, sudah tentu ada mereka yang juga berhak untuk bertanding dan saya serahkan kepada rakyat. Hanya janganlah Sarawak terumbang-ambing. Kerajaan mestilah kuat. Ketika ini, kita pun telah membantu kerajaan pusat menjadi stabil, walaupun bukan ahli PN. Kita menyokong kerajaan kerana negara berkehendakkan kerajaan. Walaupun ketika ini masih ada masalah, saya serahkan kepada mereka. Tetapi apa yang penting, Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun, ia mesti menuju ke arah masa depan yang baik untuk generasi Malaysia yang baharu.
Dalam konteks ini, biarlah kita Sarawak jaga diri dengan kekuatan dan sumber yang ada. Saya nampak apabila Sarawak mempunyai sistem pentadbiran dan juga ekonomi yang mantap maka ia akan menjadi satu tarikan.
ASTRO AWANI: Kalau diberi pilihan sama ada untuk mengadakan pilihan raya sendiri atau serentak, mana satu pilihan?
ABANG JOHARI: Saya tidak tahu, saya serah kepada apa yang berlaku di Semenanjung. Tetapi kita memang tetap (mengadakan pilihan raya), kita sudah ada masanya.
ASTRO AWANI: Telah diberitahu bahawa dalam pilihan raya yang akan datang selepas waktu Covid-19, kebanyakan kempen dijalankan secara maya. Bagaimana Datuk Patinggi melihat perkara ini?
ABANG JOHARI: Kita ikutlah prosedur operasi standard (SOP). Bagi kami dalam GPS, kami yakin kerana rakyat akan menentukannya.
ASTRO AWANI: Apakah asas keyakinan bahawa GPS akan mendapat sokongan rakyat?
ABANG JOHARI: Satunya ialah rakyat berkehendakkan kestabilan. Kedua, dasar-dasar sosial dan ekonomi yang boleh menjaminkan masa depan. Ketiga ialah pentingnya perpaduan dalam masyarakat kita yang berbilang kaum dan agama. Kami dalam GPS akan mengamalkannya sebagai dasar.
ASTRO AWANI: Apa pentingnya mandat untuk Datuk Patinggi sendiri?
ABANG JOHARI: Saya tidak ada kepentingan sendiri. Sebab itu apabila banyak orang kata ini mandat Adenan, saya kata betul tetapi saya adalah pasukan Adenan. Bermakna kalau diberi mandat, ini pun bukan mandat saya tapi mandat rakyat Sarawak. Saya pemimpinnya, saya memimpin dan rakyat akan memberi mandat kepada rakyat Sarawak sendiri untuk menuju ke arah tahun 2030.
Setidak-tidaknya sudah ada tanda-tanda rakyat kita melihat dasar begini dapat diterima apabila melihat profesional kita sudah balik, dan tahap ekonomi kita akan meningkat kepada tahap ekonomi moden dalam era yang moden dan suasana global. Saya nampak kita sudah menuju ke arah sedemikian.
ASTRO AWANI: Menjelang pilihan raya ini, bagaimana Datuk Patinggi melihat calon-calon baru dalam kalangan orang muda?
ABANG JOHARI: Itu akan saya tentukan bila sampai masanya.
ASTRO AWANI: Tahun ini Datuk Patinggi akan berusia 71 tahun, dengan segala curahan idea pembangunan yang dibawa, bagaimana Datuk Patinggi ingin diingati?
ABANG JOHARI: Seperti saya katakan, saya tidak ada kepentingan peribadi. Apa sahaja yang saya ada, saya sumbangkan kepada negeri. Terpulang kepada rakyat melihat dan menilai sumbangan saya sebagai Ketua Menteri atau pun sebelum itu ketika menjadi menteri biasa.
Apabila saya menjadi Menteri Pembangunan Perindustrian, saya yang pertama yang membawakan pelaburan ke Sarawak iaitu di Samajaya, Kemena dan juga Sejingkat. Selepas itu saya ditukar ke Pelancongan, kita mendapat penerbangan langsung ke Perth dan Jerman. Lepas itu, saya ditukar ke Perumahan. Saya telah menghidupkan Sibu Jaya daripada sebuah kawasan yang hidup segan, mati tidak mahu. Kemudian jadi lagi Menteri Pelancongan dan Perumahan. Ini sumbangan sayalah hingga ke hari ini. Jadi saya serahkan kepada rakyat untuk menilai.
Rudi Affendi Khalik
Wed Jan 13 2021
Hari ini, genap empat tahun Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Sarawak. - Foto Astro AWANI.
Pelancongan: semua kementerian diseru kukuh kerjasama dengan MOTAC
Semua kementerian serta agensi yang berkaitan pelancongan diseru mengukuhkan kerjasama khususnya dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjadikan sektor itu sebagai agenda nasional yang strategik.
Suspek bunuh ibu, sumbat ibu dalam peti sejuk didakwa pada Selasa
Lelaki dipercayai membunuh ibunya dan menyumbat mayat mangsa dalam peti sejuk beku sejak tiga tahun lalu di rumahnya akan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pada Selasa.
Papan tanda: tindakan penguatkuasaan untuk pastikan peniaga patuhi peraturan - DBKL
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda yang dijalankan di sekitar ibu negara baru-baru ini bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi undang-undang kecil yang ditetapkan.
AS terus usaha capai genjatan senjata di Lubnan
AS sedang berusaha sedaya upaya untuk mencapai gencatan senjata di Lubnan namun mengingatkan perjanjian masih belum berjaya dicapai.
Waktu bekerja: jika lebih lama beri risiko fizikal, mental jururawat
Pelaksanaan waktu bekerja yang lebih panjang boleh memberi risiko ke atas fizikal serta mental jururawat, dan secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap perkhidmatan kepada pesakit, kata Majlis Eksekutif Tertinggi Persatuan Jururawat Malaysia (MNA).
Sidang Parlimen: Tiada hasrat benarkan kenderaan asing nikmati subsidi RON95
Kerajaan tidak berhasrat membenarkan kenderaan milik bukan warganegara untuk menikmati kemudahan subsidi bahan api RON95, kata Kementerian Ekonomi.
Sidang Parlimen: Isu pengurusan perumahan, kuarters kerajaan antara tumpuan hari ini
Isu pengurusan rumah pangsa kos rendah dan kuarters penjawat awam antara yang dibincangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Serangan Israel di Beirut Tengah ragut 29 nyawa
Sumber keselamatan Lubnan melaporkan bahawa serangan pada 23 November itu menggunakan bom pemusnah 'bunker'.
Mangsa banjir meningkat di lima negeri
Jumlah mangsa banjir di seluruh negara mencatatkan peningkatan kepada 191 orang setakat 6 pagi Selasa, berbanding 183 mangsa semalam.
G7 usaha sepakati isu waran tangkap Netanyahu
Tajani menyatakan bahawa G7 perlu bersatu dalam isu ini untuk menunjukkan pendirian yang kukuh.
Sarawak bakal ambil alih MASwings bulan depan
Sarawak dijangka memuktamadkan perjanjian jual beli untuk MASwings, anak syarikat penerbangan serantau Malaysia Aviation Group (MAG) bulan depan, kata Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Penjawat awam Sarawak terima Bantuan Khas Kewangan dua bulan gaji
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada penjawat awam negeri.
Budaya bermukun perlu dipertahankan - Premier Sarawak
Bermukun Se-Borneo 2024 ialah program yang memartabatkan seni budaya bermukun dalam kalangan masyarakat serantau.
Pusat Kecerdasan Buatan Sarawak ditubuhkan tahun depan - Abang Johari
Kerajaan Sarawak akan menubuhkan Pusat Kecerdasan Buatan Negeri (SAIC) pada tahun depan.
Abang Johari umum inisiatif SKAS untuk rakyat Sarawak, wang saku pelajar
Premier Sarawak mengumumkan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), satu inisiatif baharu bantuan kewangan bertujuan untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah.
Premier Sarawak bentang belanjawan negeri berjumlah RM15.8 bilion untuk 2025
Premier Sarawak hari ini membentangkan belanjawan negeri berjumlah RM15.8 bilion untuk tahun depan.
CCUS rentas sempadan: Sarawak akan kerjasama dengan Persekutuan - Abang Johari
Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Persekutuan dalam pengangkutan rentas sempadan bagi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon.
Tanggungjawab kerajaan Sarawak bantu rakyat sendiri - Premier Abang Johari ulas kenyataan Tun M
Tanggungjawab kerajaan Sarawak ialah membantu rakyatnya untuk meningkatkan pendapatan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Penganjur bersama Sukan SEA 2027 satu pelaburan buat Sarawak - Abang Johari
Kerajaan Negeri Sarawak melihat peranannya selaku penganjur bersama temasya Sukan SEA 2027 sebagai satu pelaburan yang boleh meningkatkan profil negeri itu di seluruh Asia Tenggara.
Pembangunan lapangan terbang Sarawak tarik minat pelabur luar - Abang Johari
Langkah proaktif Sarawak membangunkan lapangan terbang menggunakan dana sendiri menarik minat pelabur luar untuk turut serta.