VLADIVOSTOK: Undangan daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin kepada Malaysia untuk menghadiri persidangan kemuncak BRICS di Kazan pada Oktober depan, adalah satu perkembangan yang menarik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Presiden Rusia, Vladimir Putin, mengundang Malaysia untuk menghadiri persidangan kemuncak BRICS di Kazan pada Oktober depan. Ini dianggap sebagai penghormatan besar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memandangkan Malaysia masih dalam proses permohonan untuk menyertai BRICS.
  • Malaysia berminat menyertai BRICS kerana kerjasama dengan negara-negara Selatan Global dianggap menguntungkan. Anwar Ibrahim menekankan bahawa Malaysia ingin menunjukkan ia adalah negara bebas yang tidak terikat dengan mana-mana tekanan luar.
  • Anwar Ibrahim menyatakan bahawa keinginan Malaysia untuk menyertai BRICS tidak sepatutnya dipandang negatif oleh kuasa besar dunia. Beliau yakin bahawa diplomasi dan penjelasan yang baik oleh Menteri Luar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri akan memastikan tiada kesan negatif terhadap pelaburan luar.


Beliau berkata, ia merupakan satu penghormatan memandangkan Malaysia masih lagi di peringkat permohonan untuk memasuki gabungan tersebut, dan status itu menunjukkan negara ini antara yang diberi keutamaan oleh Rusia.

Perdana Menteri berkata, Malaysia menunjukkan minat untuk menyertai BRICS kerana kerjasama yang bakal terjalin dengan negara Global South itu sangat menguntungkan, selain ingin terus memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bebas dan tidak terikat dengan mana-mana tekanan.

“(Ia merupakan) kerjasama di kalangan negara-negara membangun, terutamanya yang boleh memberikan kekuatan baharu.

"(Seperti) BRICS, kita (juga) bicara soal bank pembangunan baharu, yang boleh mengurangkan tekanan sistem infrastruktur kewangan sedia ada, dan memberikan alternatif kepada kita.

“Apakah ia akan ganti (kerjasama sedia ada dengan forum lain)? Tidak, seperti mana (perdagangan) kita dengan China menggunakan ringgit dan yuan, juga di India, Indonesia dan Thailand.

"Sebahagian kecil sudah dimulakan. Jadi perkembangan dalam Global South lebih menarik,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia bagi merumuskan lawatan kerja dua hari beliau ke sini, sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 anjuran Yayasan Roscongress.

Media sebelum ini melaporkan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS, dengan blok itu dianggarkan menguasai satu per lima perdagangan global, serta mewakili 40 peratus populasi dunia.

BRICS, yang awalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, kini disertai Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriyah Arab Bersatu, dengan anggaran kira-kira 32 lagi negara telah menyatakan minat untuk menyertainya.

Ditanya sekiranya keinginan itu akan dipandang secara negatif oleh kuasa-kuasa besar dunia lain, Perdana Menteri berkata sepatutnya tidak ada halangan untuk Malaysia sebagai sebuah negara bebas untuk mengadakan hubungan baik secara dua hala, atau secara kumpulan dengan mana-mana pihak.

“Ia (mungkin) ambil masa, kerana pendekatan baharu ini lebih agresif dan ada kelainan.

"Mengapa Malaysia sebagai negara bebas, berprinsipkan centrality, mengambil sikap terbuka, tidak harus mengembangkan kerjasama dengan semua negara?

“Bukan semua perkara kita setuju, ada kita beza pendapat dengan Eropah, dengan Amerika Syarikat, Rusia dan China, tapi tak halang hubungan baik terutamanya dalam ekonomi,” katanya lagi.

Biarpun ada pandangan bahawa pandangan negatif itu mungkin memberi kesan kepada pelaburan luar ke dalam negara ini, Perdana Menteri berkata, beliau mendengar pandangan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa ia boleh ditangani dengan baik.

Selain itu, Anwar berkata, beliau juga percaya dengan ‘kelunakan’ Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk memberi penjelasan yang sewajarnya sekiranya diperlukan.

“Tengku Zafrul kata tak beri kesan, tapi kita jelaskan. Sebab itu saya rasa diplomasi Tok Mat baik, lunakkan, beri penerangan dan sebagainya.

"Apa yang kita jejaskan hubungan? Tidak. Kita hanya menambah lingkungan dan jaringan dan persahabatan dengan negara untuk beri kekuatan tambahan.

“Kalau ada yang merungsingkan, atau dikhuatiri akan menjejaskan kepentingan mereka, kita jelaskan. Kita ambil sikap cukup terbuka,” katanya lagi.