Duta Malaysia ke Persekutuan Rusia Datuk Cheong Loon Lai pada Selasa berkata, Perdana Menteri akan menggunakan pertemuan dengan Putin yang bakal berlangsung pada 4 September sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) itu untuk mengulangi pendirian Malaysia untuk menyertai blok ekonomi organisasi antara kerajaan, Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).
Selain itu, beliau berkata, Perdana Menteri turut memberi tumpuan kepada bidang seperti perdagangan dan pelaburan; pendidikan tinggi; TVET, agro-pertanian dan keterjaminan makanan; serta pelancongan.
Turut bakal dibincangkan ialah penerokaan kerjasama dalam bidang baharu seperti aeroangkasa dan teknologi maju.
“Kita tahu Rusia merupakan pengerusi BRICS untuk 2024, dan mereka (negara-negara anggota) sedang bersedia untuk persidangan kemuncak di Kazan pada pertengahan Oktober. Dalam konteks Malaysia, kita telah memohon untuk sertai BRICS, yang mana ini akan memberi kelebihan dalam hubungan kita dengan negara-negara Global South.
“Kita melihat menyertai BRICS akan mempelbagaikan lagi ekonomi dan kepentingan strategik negara. Sering terjadi salah anggap di mana kita cuba berlawan arus dengan pihak tertentu, atau menjarakkan diri pakatan atau kerjasama sedia ada,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia di sini pada Selasa, sebagai pembuka tirai kepada lawatan kerja Perdana Menteri ke Vladivostok, sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 yang akan berlangsung selama dua hari bermula 4 September ini.
EEF yang merupakan dialog anjuran Yayasan Roscongress, kali pertama diadakan pada 2015 dengan tujuan untuk menyokong pembangunan ekonomi timur jauh Rusia dan memperluaskan kerjasama antarabangsa di rantau Asia-Pasifik.
Dalam pada itu Cheong berkata, Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Perbincangan dengan Presiden Rusia, katanya lagi, akan menyentuh mengenai hubungan dialog ASEAN-Rusia, memandangkan Malaysia bakal menjadi pengerusi ASEAN bagi tahun 2025.
Sewaktu hari terakhir EEF pada 5 Sept, Cheong berkata, Perdana Menteri akan diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama pada sesi pleno persidangan itu. Selain itu beliau dijangka akan melawat pavilion syarikat-syarikat yang menyertai forum kali ini.
“Lawatan Perdana Menteri kali ini merupakan peluang baik untuk Malaysia mempelajari dengan lebih mendalam, khususnya bagaimana Rusia dapat terus kekal bertahan dan berdaya saing, meskipun ia dilanda sekatan ekonomi yang meluas susulan konfliknya dengan Ukraine,” kata Cheong lagi.
Sementara itu Kementerian Luar dalam satu kenyataan susulan berkata, Persekutuan Rusia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dari kalangan negara-negara Eropah, dengan jumlah perdagangan dua hala meningkat sebanyak 15.6 peratus kepada RM14.22 bilion (AS$3.1 bilion) berbanding RM12.3 bilion (AS$2.79 bilion) pada 2022.