KUANTAN: Duta dan wakil negara Asean menganggap produk pelancongan di Pahang adalah unik dan boleh dipromosikan ke negara -negara rantau itu sebagai usaha memajukan industri pelancongan negeri ini.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono menyatakan kekaguman keunikan budaya dan etnik negeri itu dan selain berpendapat, produk-produk berkenaan tidak terdapat di negara lain.

Tambah Hermono, pertukaran diplomasi budaya juga sebetulnya dapat mengeratkan hubungan sesama negara di Asean dan Pahang secara lokasinya yang wajib dikunjungi oleh pelancong dari negara-negara Asean.

“Salah satu cara untuk mempererat hubungan antara negara adalah yang kita sebut dengan cultural diplomacy dan saya kira itu juga yang sedang dipromosikan oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia untuk mempromosikan cultural diplomacy sehingga bangsa yang satu dengan bangsa yang lain saling mengenal budayanya mungkin ada persamaan.

“Banyak juga  hal-hal yang sifatnya unik saya kira… cultural diplomacy itu diplomasi yang sangat menyenangkan kerana dia melibatkan rakyat banyak tidak hanya government official tetapi itu dirasa oleh masyarakat awam," kata Hermono.

Beliau berkata demikian ketika ketika pada program 'Explore Pahang Bersama Duta Asean dan wakil Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan', di sini, pada Isnin.



Seramai enam Duta Asean dan 24 delegasi termasuk Pesuruhjaya Tinggi Kedutaan hadir memeriahkan program yang berlangsung selama tiga hari bermula pada Isnin.

Hermono turut mahu membantu mempromosikan keunikan di Kuantan kepada agensi pelancongan di Indonesia kerana Pahang juga kaya dengan budaya.

Bagi Duta Laos ke Malaysia, Viengsavanh Sipraseuth pula, beliau amat meminati makanan terutama sambal hitam Pahang, selain menggemari aktiviti mencanting batik.

“Ini satu penghormatan besar bagi saya kerana berpeluang melawat bandar raya Kuantan yang indah di tepi laut ini dan ini juga kali pertama saya ke sini dan saya sangat menikmati semua aktiviti.

“Terima kasih kepada Tourism Malaysia dan Tourism Pahang kerana menjemput kami, saya sangat seronok dengan semua aktiviti terutamanya batik lukisan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Promosi Antarabangsa Asia Tenggara Tourism Malaysia, Bahruddin Sulaiman berkata, program tiga hari dua malam ini diadakan bagi memperkenalkan produk pelancongan Pahang khususnya di Kuantan.

Beliau berkata, ini merupakan kali pertama program sedemikian dianjurkan oleh Tourism Malaysia.

Hasil daripada maklum balas yang diperoleh juga, Tourism Malaysia, kata beliau, akan meluaskan lagi penganjuran dengan membawa duta-duta dan wakil-wakil negara asing ke Sabah pula bertujuan memberikan gambaran yang jelas mengenai keunikan Negeri Di Bawah Bayu itu.