Rakyat negara ini dinasihat tidak cepat melatah dan mudah percaya dengan beberapa laman 'troll' berkaitan Familia Myvi Club (FMC) yang mengaitkan catatan mereka dengan insiden kemalangan di Lebuhraya DUKE pada awal pagi Sabtu.

Presiden kelab aktiviti pemilik pacuan empat roda dan motorcros, Kilo Lima Bravo Motorsport (KLMBC), Che Adnan Che Kadir berkata, pengendali laman 'troll' berkenaan juga diminta segera menutup laman berkenaan dari terus membuat catatan yang tidak memikirkan sensitiviti keluarga mangsa serta rakyat negara ini.

"Ini bukan bahan jenaka untuk dibuat main-main dan ditertawakan. Ia melibatkan kehilangan nyawa dan kewujudan pelbagai laman 'troll' melibatkan FMC secara tiba-tiba hanya akan memburukkan lagi keadaan.

"Kita biarkan pihak berkuasa menyiasat dan hasil pastinya siapa yang bersalah akan dihukum kelak. Rakyat juga jangan mudah percaya dengan pelbagai catatan berkenaan isu ini yang memburukkan mana-mana pihak sekali pun," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Salah satu laman 'troll' di Facebook yang dikatakan wujud selepas insiden DUKE Sabtu lepas - Gambar Facebook

Che Adnan mengulas pelbagai laman 'troll' yang wujud selepas kemalangan pada pagi Sabtu yang melibatkan sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut yang membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 Lebuhraya Duke.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan berkata kemalangan berlaku apabila kereta Pajero yang berada di lorong tengah dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi.

BACA: 'Kami beri kerjasama, sokong pemandu Myvi bersalah dihukum' - Wakil FMC

BACA: Adik mangsa kemalangan DUKE mahu jumpa admin kelab kereta Myvi

BACA: Perbuatan 'troll' dikategorikan sakit jiwa - Fadzilah Kamsah

Sebelum ini, pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah berkata, mereka yang suka melakukan 'troll' atau mengeluarkan kenyataan bernada menyindir dengan tujuan provokasi dan menyebarkan keburukan orang lain menerusi media sosial, merupakan golongan 'sakit jiwa'.

Kata Dr Mohd Fadzilah, golongan ini boleh dikenali menerusi empat ciri dengan yang pertama orang yang 'sakit dari segi rohani', jahil agama, mungkin dipengaruhi kawan dan sewenang-wenangnya menyampaikan sesuatu perkara tanpa mengatahui kesasihan dan kebenaran keseluruhan cerita.

Dalam pada itu kata Che Adnan, selain menimbulkan kekeliruan, sikap pengandali laman tersebut boleh menimbulkan salah faham di antara kelab Myvi dan Pajero.

"Mungkin ada catatan yang boleh mengakibatkan salah faham sekali gus pergaduhan dan kutuk mengutuk di antara ahli kedua-dua kelab atau pengguna kenderaan model berkenaan," ujarnya.

Jelasnya lagi, ahli kelab permotoran juga turut dinasihat untuk melakukan kerja amal selain hanya menumpukan aktiviti di stas jalan raya.

"Kerja amal akan menimbulkan rasa kasih sayang di atas jalan raya, kelab perlu mengambil inistaitf untuk membuat kursus pemanduan berhemah selain memastikan semuanya berdaftar dengan pihak berkenaan," katanya.

Kemalangan yang berlaku pada awal pagi Sabtu itu mengorbankan Fairuz Nizam,35 bersama isterinya Nova Safitri Azhari,27, dan bayi mereka yang berusia 7 bulan, Nur Firuza Annisa.

Nur Firuza Amira,7 dan adiknya Nur Firuza Aqila,4, menjadi yatim piatu selepas ibu bapa dan adik mereka terlibat dalam kemalangan tersebut.