Bagaimana tidak, perjalanan kehidupan yang akan ditempuh pasti dilihat berdepan cabaran selepas selain ayah dan ibu mereka, Fairuz Nizam Husain serta Nova Safitri Azhari meninggal dunia, kedua adik beradik itu turut kehilangan adik bongsu mereka, Nur Firuza Annisa yang baru berusia tujuh bulan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika melawat adik beradik malang itu memberitahu, perbualan ringkasnya dengan Amira benar-benar menyentuh perasaannya.
Katanya, saat paling menyedihkan apabila Amira memegang kepalanya dan mencium pipinya seolah-olah tidak mahu melepaskannya pulang.
"Paling sayu apabila Amira memaut dan mencium kepala saya.
"Dia benar-benar suka anak patung yang diberi, semoga anak kecil ini menjadi tabah dan masyarakat di sekelilingnya dapat memberi kasih sayang kepada mereka berdua," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Mas Ermieyati meluangkan masa kira-kira satu jam melawat kedua adik beradik itu di Taman Batu Muda Batu Caves di sini.
Mas Ermieyati sebak ketika memeluk Amira yang kehilangan ibu bapa akibat kemalangan di DUKE pada Sabtu lepas - Gambar Facebook Mas Ermieyati
Dalam lawatan berkenaan, Mas Ermieyati sempat menghulurkan sumbangan dan menyatakan rasa simpati terhadap nahas yang menimpa keluarga itu.
Katanya lagi, Amira juga berbisik padanya cita-citanya untuk menjadi seorang doktor pakar satu hari nanti.
"Amira kata adiknya hendak menjadi doktor gigi. Saya minta Amira belajar rajin-rajin dan buktikan cita-citanya itu menjadi kenyataan satu hari nanti.
"Amira mengangguk seperti benar-benar faham apa yang saya kata, semoga Allah mempermudahkan perjalanan Amira untuk mencapai cita-citanya," ujarnya dalam nada sebak.
Dalam pada itu kata Mas Ermieyati, dia juga sempat berpesan kepada Amira untuk menjaga adiknya dan sentiasa menjadi insan yang baik selain cemerlang dalam pelajaran.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.05 pagi Sabtu itu, kenderaan utiliti sukan (SUV) Pajero Sport yang dinaiki ibu bapa Amira berlanggar dengan dua buah Perodua Myvi sebelum terbalik.
Berdasarkan maklumat yang menjadi viral di laman sosial, kemalangan dipercayai berpunca daripada enam kereta Perodua Myvi yang sedang berlumba sebelum dua daripadanya bergesel dan merempuh sehingga Pajero Sport yang dinaiki mangsa berpusing dan terbalik.
BACA: "Tangkap orang yang langgar ayah saya", luah Nur Firuza Amira kepada Zahid
BACA: 'Kami beri kerjasama, sokong pemandu Myvi bersalah dihukum' - Wakil FMC
BACA: Rakaman CCTV bukti pemandu kereta Myvi seperti berlumba
Pada pagi Isnin, Amira berpesan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melawatnya, agar menangkap individu yang melanggar ayahnya.