PETALING JAYA: Pekarangan Kompleks Mahkamah di sini mula dibanjiri pengamal media pagi ini, bagi mengikuti rapat kes pembunuhan kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, kawalan keselamatan juga ditingkatkan dengan kehadiran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal situasi.

Kelibat ahli keluarga kanak-kanak malang berusia enam tahun ketika kejadian itu juga turut kelihatan bagi memberikan sokongan terhadap ibu bapa serta datuk dan nenek kepada Zayn Rayyan.

Permohonan reman bagi ibu bapa Zayn Rayyan tamat hari ini dan persoalan sama ada pasangan terbabit akan didakwa dijangka diketahui jam 10 pagi ini.

Manakala bagi datuk dan nenek sebelah bapa mangsa pula, polis akan membuat permohonan reman untuk membantu siasatan kes tersebut.

Semalam, Pegawai Penyiasat Polis dipercayai membawa ibu kepada kanak-kanak itu ke kompleks mahkamah ini untuk dirakamkan pengakuan salah di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Foto Astro AWANI

Bagaimanapun, wanita terbabit tidak membuat sebarang pengakuan di Mahkamah Majistret, sebaliknya, peguam Mahmud Jumaat berkata, anak guamnya itu memberi keterangan kepada Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Sehubungan itu, bantahan dibuat oleh peguam itu terhadap permohonan polis untuk mendapatkan pengakuan wanita berusia 29 tahun itu.

Bantahan dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950.

Pada hari yang sama, datuk dan nenek Zayn Rayyan ditahan polis di Subang Bestari, pada jam 2.30 petang.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan yang menyatakan penahanan pasangan terbabit bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Selasa lalu, media melaporkan kehadiran ibu bapa kanak-kanak itu di kediaman serta lokasi mayat mangsa ditemukan, adalah sebahagian proses melengkapkan siasatan kes.

Hussein dipetik berkata, ia antara prosedur yang perlu dilaksanakan sebelum kertas siasatan dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Foto Astro AWANI

Pada Isnin, ibu kepada Zayn Rayyan dibawa semula ke kediaman mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai dan lokasi mayat ditemukan, dipercayai untuk melakonkan semula kejadian kehilangan kanak-kanak itu sehingga mayatnya ditemui.

Sebelum ini, polis menyambung reman pasangan suami isteri itu bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan sehingga hari ini.

Kedua-duanya direman bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mereka ditahan di Puncak Alam, 31 Mei lalu.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemui kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.