Dua peniaga dalam talian dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan terbabit dalam aktiviti pembiayaan keganasan dua tahun lalu.

Tertuduh Muhammad Hassan Syauqi Omar, 23, menghadapi tiga pertuduhan manakala Mohd Shaifful Jaafar, 31, berdepan satu pertuduhan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Hassan Syauqi didakwa secara langsung memberi perkhidmatan kewangan dengan membenarkan kemasukan RM100 ke dalam akaun miliknya.

Wang itu dipercayai akan memanfaatkan pengganas Muhammad Fudhail Omar, 25, di Jalan Bukit Puteri 11/3A, Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani pada 4.36 petang 28 April, 2015.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memberi perkhidmatan kewangan dengan membenarkan kemasukan RM200 ke dalam akaun miliknya dipercayai akan dimanfaatkan Muhammad Fudhail pada 8.19 malam 1 Mei, 2015.

Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa memberi perkhidmatan kewangan dengan membenarkan kemasukan RM2,000 ke dalam akaun miliknya dipercayai akan dimanfaatkan pengganas Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin, 38, di alamat sama pada 3.03 petang, 29 April, 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 130O (1)(b) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130O (1)(bb) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta denda.

Manakala Mohd Shaifful didakwa memberi wang RM890 kepada Muhammad Hassan Syauqi dengan menggunakan akaun bank miliknya dipercayai akan digunakan untuk melakukan perbuatan pengganas di 1605, Lorong Teja 34, Taman Keladi, Sungai Petani, 9.15 malam 12 April, 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130N(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta denda.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya bagi pertuduhan ke atas Muhammad Hassan Syauqi dan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farahin Ibrahim bagi pertuduhan ke atas Mohd Shaifful.

Muhammad Hassan Syauqi turut diwakili peguam bela Syafiqah Abdul Razak dan mahkamah menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes sementara mendapat izin dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.