Dua beranak maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di KM9 Jalan Bahau-Kemayan, Jempol dekat sini, pada 11.47 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata mangsa yang maut dikenali sebagai Mohammad Aliff Azmi, 24, yang merupakan pemandu Proton Wira, dan ibunya Amaisah Mohamad Azid berumur 54 tahun.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Wira yang datang dari arah Bahau ke Kemayan bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan.

"Akibat perlanggaran itu, Proton Wira berkenaan tercampak ke bahu kiri jalan lalu bergesel dengan sebuah lagi kereta jenis Honda Jazz yang kebetulan berada di laluan kiri jalan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata dua beranak yang maut itu, masing-masing mengalami kecederaan parah di kepala manakala pemandu lori dan Honda Jazz tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Dua beranak ini beralamat di Serting Hilir 5, Bandar Seri Jempol dan mayat dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat," katanya.

-- BERNAMA