Dua beradik hilang dan dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan mereka di Sungai Perak, berhampiran Batu Musafat, Bekut, Perak.

Meor Mohamad Izzat Meor Mazinun, 13 tahun dan adiknya Meor Mohammad Fahmi, 11 tahun, dilaporkan mandi di sungai itu sebelum disedari hilang pada pukul 5 petang Khamis.

Bapa kepada mangsa, Meor Mazinon Mun yang ditemui berkata, dia tidak menjangkakan insiden itu akan berlaku memandangkan anaknya tidak pernah mandi di sungai terbabit sebelum ini.


Susulan insiden itu, pasukan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput menjalankan usaha pencarian dengan bantuan unit selam dan unit anjing pengesan.

Operasi mencari dijalankan dalam jarak dua kilometer dari kawasan kejadian ke arah hilir sungai.

Setakat ini lebih 142 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), polis, rela, dan penduduk tempatan turut membantu mengesan kedua-dua beradik itu.