KOTA BHARU: Dua anggota polis daripada Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA8) yang berpangkalan di Pengkalan Chepa maut dalam kemalangan awal pagi, Sabtu.

Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Lans Koperal Jerry Layong Anak Nyalin, 32, dan Koperal Juna Anak Jembat, 39.

Ketua Polis Pasir Mas ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kejadian berlaku pada pukul 4.25 pagi tadi dan kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.

Beliau berkata kedua-dua mangsa bertugas di Batalion 8 PGA yang berpangkalan di Kem Pengkalan Chepa di sini.

"Berdasarkan maklumat kenderaan jenis Perodua MyVi yang dinaiki mangsa telah melanggar belakang sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan.

"Pemandu dan penumpang kereta maut di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala. Semasa kejadian keadaan jalanraya tidak sesak, lurus dan basah," katanya.

mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Wad Forensik Hospital Pasir Mas untuk proses bedah siasat.