KUALA LUMPUR:Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengakui beliau amat terkesan dengan teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019 (LKAN 2019) berhubung Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Memetik laporan Sinar Harian, Zulkifli berkata, beliau mengharapkan agar teguran seperti pengagihan wang zakat itu adalah yang terakhir terhadap agensi di bawah kementeriannya.

Sewaktu memberi ucapan sempena perhimpunan kementerian secara dalam talian, beliau berharap pada masa depan, tiada lagi mana-mana 13 agensi kementerian menerima teguran sedemikian rupa, demi menjaga integriti dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Saya amat terkesan apabila membaca Laporan Ketua Audit Negara 2019 berkenaan pengagihan wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Cukuplah itu menjadi laporan terakhir yang mendapat teguran audit oleh mana-mana agensi di bawah saya," katanya seperti dipetik portal berkenaan hari ini.

Dalam LKAN 2019 Siri 1 yang disiarkan pada Disember tahun lepas, laporan mendapati RM14.73 juta wang zakat tahun 2018 bagi asnaf fisabilillah, yang berada di bawah kelolaan MAIWP, tidak digunakan bagi tujuan sepatutnya.

“Semakan mendapati perkara itu berlaku disebabkan pentakrifan asnaf fisabilillah terlalu umum dan tidak diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

"Selain itu, tiada fatwa khusus ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang harus dibuat menggunakan wang zakat," menurut laporan itu lagi.

Selain itu, LKAN turut menemui beberapa kelemahan pengurusan seperti projek pembangunan yang telah dibuat bayaran perkhidmatan perunding sejumlah RM4.72 juta pada 2013 hingga 2017, menggunakan wang zakat.

Menurut laporan Bernama, pihak Audit mengesyorkan supaya skim bantuan yang diberikan kepada asnaf fisabilillah hendaklah mengikut keutamaan dan takrifan sebenarnya serta diperincikan mengikut jenis perbelanjaan yang dibenarkan menggunakan wang zakat.

Selain itu, fatwa khusus juga perlu ditetapkan bagi jenis perbelanjaan dan syarat projek pembangunan yang boleh dibuat menggunakan wang zakat secara 'case by case' bagi memastikan tiada pembaziran dan sebarang kerugian dan pengurangan kepada wang zakat.

Laporan itu mengesyorkan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemantauan terhadap status projek secara berkala dikuatkuasakan terutamanya melibatkan kepentingan agensi mengemukakan laporan pelaksana, perbelanjaan program dan aktiviti.

Dalam pada itu, Zulkifli dalam ucapannya berkata, beliau telah mengambil alih amanah sebagai menteri ketika negara dilanda tempoh getir akibat pandemik COVID-19.

“Maka, sudah tentu keutamaan saya adalah menyelesaikan dan menangani keperluan ummah semasa. Kerana itulah fokus 10 bulan pertama adalah kebajikan rakyat.

“Alhamdulillah, sehingga Disember 2020, agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya telah agihkan bantuan pelbagai bentuk sebanyak RM363.5 juta kepada mereka yang terkesan dengan COVID-19,” katanya lagi.


Ujar Zulkifli lagi, beliau tidak mempunyai sebarang kepentingan melainkan mahu melihat 13 agensi tersebut diuruskan dengan baik dan penuh rasa tanggungjawab.

“Ingat, setiap sen yang kita dapat sebagai pendapatan bulanan kita, adalah amanah daripada Allah SWT dan rakyat Malaysia khususnya umat Islam,” katanya lagi.