Perpaduan sering diungkapkan oleh rakyat dan juga pemimpin negara ketika berbicara tentang hidup dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Namun perpaduan yang dikatakan itu hanyalah sebuah harapan dan belum lagi satu pencapaian, kata Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Dr Shamsul Amri berkata perpaduan merupakan satu matlamat yang ingin dicapai bagi sebuah negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia.

Namun katanya, biarpun perpaduan masih bersifat harapan bukan pencapaian, bibit ke arah perpaduan tetap ada tetapi ianya dalam bentuk kesepaduan.

"Kesepaduan merupakan satu keadaan yang tidak lengkap kerana kepelbagaiab kaum, agama dan budaya yang ada di negara ini.

"Jadi kalau kita mahu ke arah kesepaduan yang lengkap hingga mencapai perpaduan kita mesti menerima perbezaan, kalau tidak ia tidak akan berjaya," katanya ketika menjadi tetamu rancangan Agenda Awani yang disiarkan pada Sabtu.

Dr Shamsul Amri juga menjelaskan perpaduan sering saja mahu diukur sedangkan ada perkara yang boleh diukur dan ada perkara yang tidak boleh diukur.

"Kita terlalu literal dengan konsep ukur sedangkan ada perkara yang tidak boleh diukur seperti perpaduan tetapi ia boleh dipantau," katanya lagi.

Ikuti video yang perbincangan beliau yang disediakan.