KUALA LUMPUR: Sejak tahun 1977, Dr Kathryn Anne Rivai, seorang pendidik kelahiran New Zealand komited untuk meningkatkan akses pendidikan kepada kanak-kanak terpinggir di negara ini terutamanya mereka yang "tidak berdokumen" di Sabah.

Berhijrah ke Negeri Di Bawah Bayu lebih empat dekad lalu kerana mengikuti suaminya, Zainal Rivai yang merupakan anak jati Sabah, wanita yang kini berusia 71 tahun secara signifikannya memberi banyak impak ke atas landskap pendidikan di negeri berkenaan menerusi kemahiran serta kepimpinannya.

Kathryn mula terbabit dalam bidang pendidikan di Sabah apabila dia diambil berkhidmat sebagai guru sekolah menengah di Kota Kinabalu pada tahun 1978 sebelum menyertai Maktab Nasional, sebuah sekolah swasta sebagai Timbalan Pengetua dan Pemangku Pengetua.

Pada tahun 1998, beliau merintis penubuhan sekolah rendah swasta (SRS) termasuk Datuk Simon Fung yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan dan Seri Insan pada tahun 2004.

Pada tahun 2005, beliau turut sama membantu pembinaan semula sekolah-sekolah di Acheh, Indonesia yang musnah akibat bencana tsunami. Kathryn bukan sahaja menyaksikan kemusnahan besar yang berlaku tetapi juga trauma yang menimpa komunti tempatan.

Keadaan ini mencetuskan semangatnya untuk menggerakkan semula bidang pendidikan dan menghasilkan ProVisi Education - perundingan pendidikan Indonesia yang berkembang ke seluruh negara untuk melatih serta menyokong pendidik serta jabatan pendidikan tempatan. Sekolah kerajaan dan komuniti tempatan turut mendapat manfaat daripada program berkenaan.





EKUITI, PENDIDIKAN BERKUALITI



Kathryn mula berdepan dengan isu kanak-kanak di Sabah yang sukar mendapatkan pendidikan pada tahun 2009. Begitu terkesan dengan apa yang dialaminya itu sehinggakan beliau bertekad untuk memberi keutamaan, mendokong hak sejagat kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan.

Segala-galanya bermula apabila beliau mendapat permintaan daripada sebuah syarikat perladangan dan pengilangan kayu balak pada tahun 2009 untuk mengadakan sekolah bagi kanak-kanak yang terpinggir di Sabah.

Lanjutan daripada itu, beliau menubuhkan Sekolah Etania, yang didaftarkan secara rasmi dengan Pendaftar Syarikat (ROS) di bawah nama Persatuan Pendidikan Kanak-Kanak Matakana Sabah.

"Sepanjang kehidupan bekerja saya, hampir 50 tahun saya habiskan untuk mengajar dan dalam tempoh 14 tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa dengan anak-anak terpinggir yang tidak mempunyai akses kepada pendidikan.

"Bagi saya pengalaman dengan anak-anak terpinggir ini amat berharga, melihat mereka menimba ilmu serta nilai-nilai baik bagi membantu pembinaan negara," Kathryn yang kini menetap di Luyang, Kota Kinabalu memberitahu Bernama. Beliau memperolehi ijazah kedoktoran dalam bidang kanak-kanak terpinggir dari Universiti Malaysia Sabah dan pengajiannya itu signifikan memandangkan Sabah mempunyai komuniti besar yang hidup di bawah garisan kemiskinan, dihimpit pelbagai isu termasuk pemakanan tidak seimbang, buta huruf dan perkahwinan yang tidak didaftar.

Kanak-kanak berkenaan yang sering menghadapi masalah seperti penjagaan kesihatan dan pendidikan, begitu sukar mengeluarkan diri daripada kitaran kemiskinan.

Dengan sebanyak 14 buah sekolah di bawah naungan Etania, Kathryn menawarkan pelbagai usaha menerusi pendidikan dan kursus kemahiran hidup bagi mengelakkan mereka daripada meminta sedekah di jalan-jalan serta terlibat dengan penagihan dadah.

Sekolah-sekolah Etania itu, yang kebanyakannya terletak di ladang kelapa sawit dan kampung mempunyai seramai 27 orang guru dan lebih seribu orang pelajar, berusia antara lima tahun hingga 18 tahun.

Mengenang kembali masa yang dihabiskan di pelbagai pusat pembelajaran di Sabah, Kathryn berkongsi pelbagai pengalaman indah, dipenuhi dengan gelak ketawa, kreativiti serta pelajaran yang disampaikan kepada kanak-kanak terpinggir itu.

"Banyak yang saya belajar daripada kanak-kanak itu, antaranya kesusahan hidup serta tragedi dalam kehidupan mereka. Mereka begitu gigih belajar, berani, tabah dan menikmati sepenuhnya kehidupan, meskipun mereka mungkin dikategorikan sebagai golongan merempat.

"Saya dapat melihat setiap anak itu mata mereka bersinar kerana diberi peluang untuk belajar. Memori itu takkan dapat saya lupakan," tambahnya yang turut fasih berbahasa Melayu.

"Kami tahu pelajar-pelajar kami digelar sebagai "kanak-kanak halimunan" Sabah kerana tak ramai mahu mengenali atau menjaga atau mengambil berat akan kebajikan mereka. Malah, ada juga yang mencemuh.

"Kerana itulah saya fikir pendidikan semula perlu dalam masyarakat kita untuk memahami isu seperti kemanusiaan, apa itu ekuiti dan ekualiti," tambahnya.





ISU DOKUMENTASI



Kathryn turut menyentuh satu cabaran signifikan iaitu isu dokumentasi kerana ramai anak-anak yang menyertai sekolah yang diusahakannya datang dari keluarga yang sudah lama menetap di Sabah tetapi masih "tidak bernegara."

Menurut beliau, keadaan yang berlarutan bergenerasi lamanya itu bukan sahaja menyulitkan usaha untuk mendapatkan dokumen yang perlu bagi anak-anak tersebut, tetapi juga untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran supaya dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

Setiap kanak-kanak, katanya, berhak untuk mengalami zaman kanak-kanak yang riang serta akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan serta makanan berkhasiat dan perlu dipersiapkan untuk kehidupan bukan semata melibatkan akademik sahaja.

"Sebagai ahli akademik, fokus saya adalah kepada kurikulum tetapi selepas sekian lama, saya sedar persediaan dan pembelajaran untuk kehidupan juga relevan untuk komuniti hari ini.

"Kita perlu mendidik anak-anak ini serta keluarga mereka kemahiran untuk kelangsungan hidup, mencari pekerjaan, pintar belajar, bekerjasama, dan dapat menyesuaikan diri dengan pembangunan masa depan. Semuanya penting untuk keluar daripada kitaran kemiskinan.

"Bagaimana komuniti terpinggir boleh menjaga diri mereka? Yang jelas, bilangan mereka semakin meningkat di negara ini dan juga di dunia. Setakat memberi mereka bantuan tidak mencukupi. Kita perlu mendidik keluarga untuk sama-sama memikul tanggungjawab, " tambahnya.





'IBU' ETANIA



Kathryn adalah tulang belakang kepada penyediaan kurikulum di Etania, yang menekankan peluang yang sama di samping akademik yang baik, nilai kehidupan serta kemahiran hidup yang penting bagi memenuhi keperluan pelajar yang terpinggir.

Kurikulum berkenaan membolehkan para pelajar untuk menjadi penyumbang berkesan kepada masyarakat dan dalam masa yang sama menyemai rasa tanggungjawab, kepimpinan, berdikari dan empati.

Setakat tahun 2023, lebih 10 orang pelajar berjaya menamatkan pengajian universiti, sementara ramai lagi berjaya dalam bidang masing-masing.

Sebagai respons kepada cabaran sosioekonomi dalam kalangan komuniti terpinggir, Kathryn mengalihkan fokusnya untuk menyediakan latihan vokasional, bertujuan meningkatkan tahap kehidupan mereka serta menanam sikap berdikari.

Satu inisiatif yang banyak memberi manfaat ialah projek Kebun Sayur Contoh, dilancarkan pada tahun 2020 di tiga buah sekolah, melibatkan 60 buah keluarga.

"Projek ini menyediakan latihan kepada pelajar-pelajar Etania mengenai cara memula dan menyelenggara kebun sayur dan membolehkan keluarga menampung keperluan kehidupan mereka terutamanya sewaktu meletusnya pandemik COVID-19. Program ini juga diperluaskan meliputi ternakan ikan di kolam, yang memberi faedah kepada lebih banyak keluarga.

"Projek Akuaponik, yang ditaja oleh Calls Over Ridges, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Taiwan dilancarkan pada 2023. Program Menjahit Etania dilancarkan semasa pandemik bagi membantu kaum wanita menjana lebih pendapatan. Sebagai tambahan, sekolah itu juga melaksanakan program makanan berprotein seperti Program Lunch Box sejak 2023, bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak ditangani menerusi diet yang berkhasiat," jelasnya.

Kathryn secara strategik menyusun perkongsian meluas dengan anggota masyarakat di samping pertubuhan tempatan dan antarabangsa bagi memperluaskan impak Etania serta meningkatkan kualiti pendidikan.

Kolaborasi dengan UNICEF dan Me.Reka sebagai contoh menyediakan latihan celik komputer, pengekodan dan robotik sejak 2018, memperkasa pelajar dengan kemahiran digital serta menawar peluang pendapatan baharu kepada pelajar, termasuk kerja jarak jauh dan pekerjaan di pusat komputer.





SUMBANGAN CEMERLANG



Satu lagi pencapaian Kathryn ialah menubuhkan Gabungan Pusat Pembelajaran (CLC) Sabah pada tahun 2015. Menerusi jalinan kolaborasi dengan para sukarelawan tempatan dan antarabangsa, beliau berjaya melaksanakan program latihan percuma untuk pendidik CLC.

Program ini, dijalankan tiga kali setahun, melengkapkan para pendidik dengan sumber yang diperlukan bagi menangani impak psikologi pelajar terpinggir. Sejak penubuhannya, program berkenaan melengkapi ratusan pendidik, termasuk 70 orang pada awal 2024.

Di samping itu, sebuah pusat kemahiran kehidupan dengan bilik komputer dan bilik menjahit, dijadualkan beroperasi tahun ini. Pusat yang terletak di Kota Kinabalu itu turut menawarkan kemahiran lain iaitu kemahiran 'baking', elektronik dan perniagaan.

Program berkenaan juga akan ditawarkan kepada NGO lain, alumni Etania dan graduan dari pusat pembelajaran lain bagi menyediakan mereka untuk bekerja dan pekerjaan pada masa depan.

Dengan pengalaman yang luas di samping pengetahuan pedagogi serta kemahiran, Kathryn mendapat banyak peluang khidmat perundingan untuk pertubuhan tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Korea Selatan, Taiwan dan Singapura.

Di bawah kepimpinannya, sekolah Etania mendapat pengiktirafan antarabangsa, sebagai contoh pada tahun 2020, Junior Chamber International (JCI) Malaysia Chapter menganugerahkannya 'Sustainable Development Award', secara khusus mengiktiraf sumbangan mereka untuk SDG 4 (Pendidikan Berkualiti).

"Sekolah Etania juga menerima 'Best of the Best' Overall Award untuk program pendidikan yang menyasarkan komuniti terpinggir.

"Kami menerima Singapore President Award untuk reka bentuk mampan bagi Etania Green School pada 2020. Dibina secara kolaborasi dengan NGO berpangkalan di Singapura, Billion Bricks, sekolah yangh dibina di Beaufort, Sabah, mempunyai seramai 200 orang pelajar.

"Sekolah itu mendapat pengiktirafan kerana reka bentuknya yang pragmatik, mesra alam sekitar dan keberkesaan kos yang memaksimumkan cahaya semula jadi. Ia juga dibina daripada kontena perkapalan dan kayu yang dikitar semula. Reka bentuk modularnya juga bermakna ia mudah dibuat lagi untuk keperluan komuniti terpinggir lain," tambahnya.

Kathyrn memperuntukkan hampir sebahagian besar kehidupannya untuk memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak di Malaysia, terutamanya di Sabah, tanpa mengira kaum, umur atau kepercayaan.

Baru-baru ini, beliau menerima Anugerah Merdeka 2024 Merdeka untuk kategori Sumbangan Cemerlang kepada Rakyat Malaysia, untuk dedikasi tidak berbelah baginya meningkatkan akses pendidikan kepada kana-kanak terpinggir menerusi sekolah Etania, menawarkan pendidikan berkualiti serta latihan vokasional di Sabah.

Pemegang Amanah Anugerah Merdeka yang ditubuhkan pada 27 Ogos 2007 diasaskan oleh PETRONAS dan Shell.

Anugerah ini meraikan pencapaian serta sumbangan cemerlang individu dan pertubuhan, dalam bidang masing-masing kepada Malaysia serta memberi inspirasi kepada orang ramai.

-- BERNAMA