Seorang pengarah syarikat kontraktor warga Bangladesh hari ini dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen Sepang atas 239 pertuduhan menyimpan pasport milikan orang lain tanpa kebenaran serta menyalahgunakan pas lawatan sosial.

Hakim Harith Sham Mohamed Yasin menjatuhi hukuman itu terhadap Harun Or Rashid, 40, atau dikenali sebagai 'Dr Harun 2.0' selepas dia mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, Harun didakwa menyimpan 238 pasport milik orang lain tanpa kuasa yang sah untuk kegunaan orang lain di sebuah bilik di HMM Maju Sah Sdn Bhd , No. 8A, Jalan 6/6, Taman Komersil, Pandan Indah, Kuala Lumpur pada 5.30 petang, 4 Jan lepas.

Bagi pertuduhan itu, bapa kepada tiga anak itu dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan untuk setiap pertuduhan manakala bagi pertuduhan salah guna pas lawatan sosial dia dipenjara tiga bulan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 4 Jan.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan melanggar syarat pas lawatan sosial, Harun yang menggunakan dokumen tersebut dengan bekerja di HHM Maju didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan 1963 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Raya Jabatan Imigresen V Kasthuri Bai manakala tertuduh diwakili peguam M. Murugan.

Dalam rayuan bagi mengurangkan hukuman, Murugan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga dengan seorang isteri dan tiga anak kecil serta ibu bapanya yang berada di Bangladesh selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

Bagaimanapun, Kasthuri memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira faktor bahawa tertuduh tidak pernah mendaftarkan syarikat menguruskan perihal pekerja asing dengan Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan Imigresen dan dia tidak diberikan kuasa untuk menyimpan dokumen milikan orang lain.

Beliau berkata tertuduh sememangnya mengaku bersalah dan pengakuannya itu menjimatkan kos dan masa mahkamah.

"Namun, saya memohon mahkamah mengambil kira faktor keseriusan aktiviti yang dilakukan tertuduh seperti menyimpan dokumen milikan orang lain tanpa kuasa yang sah," katanya.

Kasthuri berkata kes itu juga telah menarik perhatian orang awam di mana setelah tangkapan ke atas tertuduh, Jabatan Imigresen menerima banyak lagi aduan berkaitan kes sedemikian.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan selepas disyaki terlibat dengan kegiatan membabitkan Imigresen dan pemalsuan dokumen selain pernah menjalankan perniagaan pada 2015 di syarikat HHM Maju sebagai pengarah syarikat.

-- BERNAMA