Pemerkasaan kaum Bumiputera di Malaysia yang diperkenalkan sejurus selepas Merdeka, adalah sumber inspirasi bagi Afrika Selatan untuk memperkenalkan sistem yang sama di negara itu.

Pengulas politik dan sosial Dr Chandra Muzzafar berkata ini kerana Malaysia dan Afrika Selatan mempunyai kesamaan dari segi populasi masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Kaum Bumiputera di negara ini adalah sama seperti kaum kulit hitam di negara itu and isu sosio ekonomi kaum itu merupakan sesuatu yang diberi keutamaan.

"Oleh kerana itu polisi pemerkasaan kaum kulit hitam di negara itu mengguna-pakai sistem yang sama seperti pemerkasaan kaum Bumiputera di negara ini.

"Afrika Selatan memperkenalkan polisi itu dari tahun 1994 dan polisi itu masih berterusan sehingga kini," katanya semasa mengulas tentang hubungan antara Malaysia dan Afrika Selatan ekoran pemergian bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela.

Dr Chandra juga berkata hubungan di antara Malaysia dan Afrika Selatan amat luar biasa kerana kedua negara itu saling berkongsi dan pelajari pelbagai fahaman daripada satu sama lain.

Beliau berkata sistem pembelajaran ini dilakukan melalui interaksi di antara pemimpin-pemimpin mereka terutamanya bekas Presiden Afrika Selatan Nelson Mandela dan pemimpin-pemimpin Malaysia termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.





"Afrika Selatan, antara lain belajar tentang pemerkasaan Bumiputera dari negara kita dan kita belajar tentang hubungan sosial yang erat antara kaum berbeza di negara itu.

"Interaksi kebudayaan di negara itu juga adalah sesuatu yang amat mengagumkan dan boleh dibelajari," katanya.

Semasa mengulas tentang Nelson Mandela yang meninggal dunia awal pagi ini, Chandra berkata Mandela berjaya mengelak daripada berlakunya perang saudara di Afrika Selatan dengan mewujudkan satu sistem politik demokratik yang memperlihatkan perkongsian kuasa yang boleh disifatkan sebagai negara yang berbilang kaum.


Beliau turut berkata Nelson Mandela merupakan seorang pemimpin yang memperlihatkan unsur-unsur moral yang tinggi dan boleh disamakan seperti pemimpin ternama India, Mahatma Gandhi.