Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dokumentari khas “Takhta Raja Payung Negara: Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17” memberi tumpuan kepada detik-detik bersejarah upacara pertabalan, aspek budaya, tradisi serta persiapan di sebalik peristiwa penting itu.
“Istiadat ini juga menonjolkan warisan institusi Diraja Malaysia, dengan setiap elemen majlis pertabalan dirancang teliti, melambangkan kedaulatan dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara Malaysia.
“Menerusi dokumentari ini, rakyat dapat melihat lebih dekat proses, persiapan dan keunikan istiadat berkenaan sekali gus memberi penghormatan kepada adat Istiadat Diraja yang diamalkan sejak turun-temurun,” menurut hantaran itu.
Rakaman di sebalik tabir penghasilan dokumentari berkenaan dihasilkan oleh tenaga produksi Johor Royal Press Office dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat Istana Negara.
-- BERNAMA