KUALA LUMPUR: Berselindung di bangunan pejabat di Jalan Sentul, di sini, sebuah pusat kecantikan dipercayai menawarkan khidmat rawatan gigi dan perubatan estetik haram sejak hujung 2022 akhirnya terbongkar, pada Selasa.

Serbuan kira-kira jam 1.10 petang hasil aduan awam itu dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa Bahagian Kesihatan Pergigian dan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sinar Harian yang mengikuti operasi terbabit mendapati premis itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

Bahkan, terdapat bilik khas yang ditetapkan dipercayai bagi pelanggan untuk mendapatkan rawatan gigi selain bilik berlainan bagi khidmat perubatan berkait kecantikan seperti memutihkan kulit serta suntikan botox.

Operasi dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul itu telah menahan tiga warga tempatan termasuk seorang wanita berusia lingkungan 22 hingga 31 tahun.

Pegawai Penguat Kuasa Pergigian, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Azfar Abdullah berkata, siasatan awal mendapati pusat kecantikan itu tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Suspek dikatakan mempromosikan perkhidmatan mereka di laman media sosial TikTok dan Instagram.

"Perkhidmatan yang ditawarkan merangkumi khidmat sarung gigi (veneer) yang hanya boleh dilakukan oleh pengamal pergigian yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia.

"Selain itu, pusat kecantikan itu turut menawarkan rawatan perubatan estetik seperti 'filler, 'pico laser, 'whitening drip' dan lain-lain rawatan estetik yang hanya boleh dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia serta ditauliahkan dengan Letter of Credentialing & Privileging (LCP) of Aesthetic Medical Practice oleh KKM," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, harga rawatan di antara RM200 sehingga RM20,000 bergantung pada jenis pakej yang diambil pelanggan.

Katanya, ketiga-tiga yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan sebuah klinik pergigian dan klinik perubatan tanpa perakuan pendaftaran yang sah.

"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 [Akta 804] kerana disyaki menjalankan amalan pergigian oleh orang yang tidak berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia," ujarnya.

Tegas beliau, KKM menasihatkan orang awam untuk mendapatkan rawatan dari pengamal perubatan atau pengamal pergigian yang sah dan mempunyai kelayakan yang bersesuaian.

"Ini bagi menjamin keselamatan serta kualiti perkhidmatan rawatan yang terbaik selain mencegah sebarang komplikasi yang tidak diingini," katanya. - Sinar Harian