Doa Yang di-Pertuan Agong buat warga Malaysia di Wuhan

Harits Asyraf Hasnan
Februari 3, 2020 19:24 MYT
Yang di-Pertuan Agong harap agar kesemua rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Wuhan, China berada dalam keadaan sihat. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan harapan agar kesemua rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Wuhan, China berada dalam keadaan sihat dan dihindari daripada jangkitan novel koronavirus (2019-nCoV) serta penyakit yang tidak diingini.
Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda yang sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkenaan wabak ini amat prihatin dengan keselamatan diri dan tahap kesihatan rakyat Malaysia yang berada di Wuhan berikutan penularan dan peningkatan jumlah kes jangkitan novel koronavirus di China.
"Seri Paduka Baginda mendoakan agar mereka semua yang akan dibawa pulang ini dilindungi dari simptom koronavirus semoga mereka dapat bersama dengan keluarga dan sanak saudara tercinta secepat yang mungkin.
"Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia, khususnya para pegawai dan kru penerbangan yang terlibat, atas usaha menjayakkan dan kelancaran misi ini untuk membawa pulang kesemua rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, China ke tanah air," kata Ahmad Fadil dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
BACA: Yang di-Pertuan Agong puji pendekatan segera kerajaan elak penularan wabak koronavirus
BACA: Koronavirus: Agong, Raja Permaisuri titah rakyat Malaysia jaga keselamatan, kesihatan diri
Menurut beliau, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan atas usaha untuk memantau tahap kesihatan kesemua rakyat Malaysia tersebut apabila tiba di Malaysia dan memastikan mereka bebas dari jangkitan 2019-nCoV serta penyakit yang tidak diingini.
#Agong #coronavirus #koronavirus #rakyat Malaysia di China #Wuhan #Yang di-Pertuan Agong
;