PENAMPANG: Disyaki mempunyai hubungan sulit dengan suami salah seorang suspek punca seorang wanita dibelasah dalam kejadian di kawasan parkir di sebuah pasar raya di daerah ini.

Kejadian pergaduhan tersebut turut dirakam sebelum video tersebut tular di media sosial sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, susulan kejadian itu pihaknya membuka kertas siasatan berkait video yang tular itu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat, pihak polis menahan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut menerusi dua siri tangkapan pada Sabtu.

"Tangkapan pertama membabitkan seorang suspek wanita berusia 18 tahun yang dilihat memukul mangsa menerusi video tersebut.

"Tangkapan kedua melibatkan mangsa wanita berusia 25 tahun namun didapati tiada dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu malam.

Tambah Sammy lagi, pihaknya turut menggerakkan sepasukan anggota untuk mengesan seorang lagi suspek yang dilihat memukul mangsa dalam kes terbabit.

"Motif kejadian dikatakan mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suami suspek yang masih bebas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaaan kerana melakukan ugutan jenayah

"Kes juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (ΑΚTA 155) kerana tiada sebrang pas atau permit untuk berada di negara ini," katanya.

Sammy berkata, sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh berhubung terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-712222.

Sebelum ini, tular satu video berdurasi dua minit 16 saat memaparkan dua wanita dilihat memukul dan menendang seorang wanita lain dalam kejadian pergaduhan di kawasan parkir di daerah ini. - Sinar Harian