HULU KELANG: Isteri seniman Pyanhabib, Zurina Khalid reda dan mengikhlaskan pemergian suaminya yang meninggal dunia malam tadi


Ringkasan AI
  • Isteri seniman Pyanhabib, Zurina Khalid reda pemergian suaminya.
  • Zurina berkata Pyanhabib tunjuk petanda sejak tiga hari sebelum kematiannya, termasuk penglihatan yang kabur dan kesulitan bernafas.
  • Dia juga berkata sempat memohon maaf daripada suaminya dan memberikan izin kepadanya untuk 'pergi'.


Kata ibu kepada dua anak ini, suaminya, Mohd Supyan Abdul Rahman, memberi petanda sejak tiga hari lalu selepas memberitahu penglihatannya sudah tidak jelas.

“Arwah hanya menjamah satu sudu nasi dan kerap muntah. Sebelum ini, dia mengalami bengkak kaki, sendawa tidak lepas dan nafas jadi pendek.

“Tiga hari sebelum meninggal dunia, mata dia tidak nampak walaupun pakai cermin mata dan semalam dia jatuh bilik air.

“Selepas solat Maghrib, dia masuk bilik dan agak lama, sebab dia kata boleh urus diri sendiri. Tetapi apabila saya pergi tengok, dia terbaring atas lantai.

“Anak bawa dia keluar dan dia duduk di atas sofa dan saya nampak nafas dia pendek. Tiba-tiba, dia jatuh atas bahu saya dan dia meninggal di atas bahu saya,” katanya.

Zurina ditemui media selepas selepas selesai jenazah Pyanhabib dimandi dan dikafankan di Masjid As-Sobirin di AU2, Keramat di sini, pada Rabu. 

Zurina juga bersyukur sempat memohon maaf dengan Allahyarham sebelum itu.

“Saya minta maaf dengan dia dan kata, kalau awak hendak pergi dulu, pergilah. Jangan tunggu-tunggu dan seksa diri.

"Saya jumpa awak di sana esok,” katanya sambil menambah, arwah seorang yang tidak suka berkongsi dengan orang lain perihal keadaan dirinya yang sakit.

Jenazah dimandikan di Masjid As-Sobirin di Lembah Keramat dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Keramat pada 11.45 pagi.