1 FEBRUARI adalah tarikh yang seringkali tidak didendangkan oleh kebanyakan masyarakat Malaysia dan hanya diingat sebagai Hari Wilayah Persekutuan.

Akan tetapi, ianya adalah tarikh keramat terhadap suatu peristiwa penting yang akhirnya menubuhkan negara Malaysia yang ada pada hari ini.

Pihak British menguasai Tanah Melayu perlahan-lahan menerusi pengambilan Pulau Pinang menerusi tipu helah pada tahun 1786.

Singapura dijajah British bermula 1824 dan seterusnya Kesultanan Melayu satu persatu dijadikan negeri lindungan British.

Kesultanan Perak adalah yang pertama dijadikan negeri naungan British pada tahun 1874 menerusi Perjanjian Pangkor.

British kalah parah kepada Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua pada tahun 1942 dan dihalau keluar dari Tanah Melayu.

Pihak British yang telah menjarah Tanah Melayu dan kekayaannya berdekad lamanya lari meninggalkan Tanah Melayu untuk dikuasai Jepun pula.

Pahlawan Melayu seperti Leftenan Adnan jugalah yang berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir mempertahankan nusa daripada dikuasai Jepun.

Apabila Jepun kalah dalam Perang Dunia Kedua, pihak British kembali ke Tanah Melayu dan seterusnya memperkenalkan gagasan Malayan Union pada tahun 1946.

Apa nasib nusa jika Malayan Union tidak ditentang dan terus berkuasa?

Malayan Union

Malayan Union adalah gagasan yang dicadangkan oleh British bagi mewujudkan pemersatuan dalam pentadbiran Tanah Melayu yang dahulunya terbahagi kepada Negeri-negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Pihak British menerusi Sir Harold MacMichael telah memaksa Sultan-Sultan Melayu menandatangani Perjanjian Malayan Union yang akan menyebabkan kedaulatan baginda sultan terhakis serta hak kerakyatan diberikan kepada orang-orang bukan Melayu – sesuatu yang tidak dapat diterima oleh masyarakat Melayu yang menganggap negara ini tanah tradisi mereka.

Penentangan Terhadap Malayan Union

Tindakan pihak British yang memaksa Sultan-Sultan Melayu serta mengenepikan kehendak masyarakat Melayu menerusi gagasan Malayan Union telah menyebabkan orang-orang Melayu bangkit menentang rancangan British ini.

Pihak British pula sama sekali tidak menyangka masyarakat Melayu yang selama berdekad lamanya hanya menurut dan mengikut telunjuk tidak akan bersatu menentang gagasan ini secara besar-besaran.

Sultan-sultan Melayu juga telah secara beramai-ramai memulaukan pelantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union pada tahun 1946.

Akhirnya, pihak British terpaksa mengalah dan menggantikan gagasan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan pada 1 Februari 1948.

Gagasan yang baru ini bertujuan untuk mempersiapkan Tanah Melayu menuju kemerdekaan tanpa menghakis kedaulatan Raja-Raja Melayu serta memberikan kerakyatan secara jus soli kepada masyarakat bukan Melayu pada ketika itu.

Apa Nasib Nusa Jika Malayan Union Berkuasa?

Orang-orang Melayu pernah menjadi bangsa pelayar dan pelaut unggul yang menguasai kepulauan Melayu sehinggakan ada catatan sejarawan Arab yang menyebut Selat Melaka pernah dinamakan ‘Laut Melayu’.

Sejarawan Barat, W. Lloyd Warner mengakui bahawa masyarakat Melayu pernah belayar ke persisiran utara Australia untuk berdagang dengan masyarakat pribumi di sana.

Penjajahan demi penjajahan telah melemahkan jati diri masyarakat Melayu dan pihak British mengambil kesempatan ini bagi menubuhkan gagasan Malayan Union.

Bagaimanapun, pihak British tersilap langkah kerana tindak balas masyarakat Melayu memeranjatkan akibat maruah bangsa tidak dapat diinjak sewenang-wenangnya lagi.

Masyarakat Tanah Melayu telah berjaya menguburkan Malayan Union. Akan tetapi, apakah akan terjadi sekiranya Malayan Union kekal berkuasa?

Besar kemungkinan, Malayan Union akan merdeka sebagai sebuah republik dan sistem Raja Berpelembagaan tidak akan terpakai seperti yang berlaku di Singapura dan Indonesia.

Kedua, masyarakat Melayu atau Bumiputera lainnya tidak akan dapat mengecapi keistimewaan sebagai penduduk asal negara ini kerana kerakyatan jus soli yang diberikan kepada masyarakat pendatang pada ketika itu.

Ketiga, besar kemungkinan Islam bukanlah agama yang diangkat sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu tidak akan diangkat sebagai bahasa kebangsaan negara.

Tambahan pula, Raja-Raja Melayu akan hilang kedaulatan dan terpinggir seperti yang berlaku di Indonesia dan India. Pendek kata, semuanya akan berubah.

Kesimpulan

Tarikh 1 Februari bukanlah sekadar tarikh untuk masyarakat Malaysia menyambut hari penubuhan Wilayah Persekutuan.

Tarikh 1 Februari adalah tarikh keramat masyarakat Melayu berjaya menyelamatkan kedudukan mereka sebagai penduduk asal negara ini.

Tarikh 1 Februari juga menggambarkan keberanian masyarakat Melayu bersatu di bawah tokoh kebangsaan, Dato’ Onn bin Jaafar bagi menentang pihak British yang seringkali menyangka orang-orang Melayu sebagai bangsa yang menurut, pengecut dan tidak berani menentang kuasa besar yang memenangi Perang Dunia Kedua.

Malaysia hari ini wujud hasil daripada titik peluh perjuangan nenek moyang kita semua yang sanggup berkorban untuk negara.

Sebagai rakyat, adalah wajar bagi kita semua untuk terus berusaha membawa Malaysia ke arah kemajuan dan kesejahteraan agar tidak dikuasai bangsa asing lagi.



* Profesor Madya Dr. Mohd Hazmi bin Mohd Rusli dan Dr. Noor Dzuhaidah Osman adalah pensyarah-pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI