KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung dari 22 Mei lepas melabuhkan tirai hari ini dengan kejayaan terbesar yang dilakar adalah membenarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 dibahaskan buat julung kali.

Inisiatif itu merupakan usaha Kerajaan Perpaduan yang berpendirian perbahasan LKAN sebagai reformasi dalam meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kualiti pengauditan.

Walaupun mendapat tentangan dan perdebatan hangat Ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan laporan itu tidak harus dibahas kerana menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuat teguran dan dapatan, kerajaan tetap meneruskannya bagi mencari penambahbaikan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul turut bersetuju usul LKAN dibahaskan berikutan permintaan rakyat dan pegawai yang mahu ianya dibincangkan secara terbuka khususnya melibatkan kewangan negara.

Sementara itu, sembilan rang undang-undang (RUU) diluluskan iaitu RUU Kesihatan Mental (Pindaan) 2023, RUU Tenaga Boleh Baharu (Pindaan) 2023, RUU Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (Pindaan) 2023, RUU Fi (Jabatan Penyiaran Malaysia) (Pengesahan) 2023.

Turut diluluskan RUU Insolvensi (Pindaan) 2023, RUU Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Pindaan) 2023, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) (No.2) 2023, RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) (No.2) 2023 dan RUU Pencetakan Teks Al-Qur'an (Pindaan) 2023.

Pada sidang ini juga, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen untuk penelitan lanjut.

Ia berdasarkan Peraturan 54 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya RUU berkenaan dirujuk kepada jawatankuasa itu bagi membuat syor-syor selain meneliti dasar Generasi Penamat (GEG) serta peruntukan berkaitan.

Selain penerangan berkaitan perolehan vaksin COVID-19 menerusi pembentangan Kertas Putih Pengurusan Perolehan Vaksin COVID-19, Kementerian Kesihatan juga membentangkan Kertas Putih Kesihatan.

Ia antara lain menggariskan status semasa, jurang dan kekangan dihadapi sistem kesihatan negara dan cadangan penyelesaian yang bersifat struktural dan sistemik merangkumi reformasi penyampaian perkhidmatan, pembiayaan dan tadbir urus secara berfasa dalam tempoh 15 tahun.

Sebelum menangguhkan sidang, Johari berkata persidangan kali ini menyaksikan 10 Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen dipilih melalui mesyuarat pada 20 dan 23 Mei 2023 lepas.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen kerana memberi kerjasama dan membolehkan persidangan berjalan dengan sempurna.

Mengikut takwim di laman rasmi Parlimen, Mesyuarat Ketiga Dewan Rakyat akan berlangsung 32 hari dari 9 Okt hingga 30 Nov.

-- BERNAMA