KUALA LUMPUR:Kerajaan komited menyediakan sebanyak 5,422 buah pusat pemindahan sementara (PPS) untuk menempatkan mangsa yang terjejas akibat banjir di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, daripada jumlah PPS itu, ia mampu menampung kapasiti sehingga 1.55 juta mangsa banjir.

Katanya, setiap PPS mampu menampung sekurang-kurangnya 200 mangsa banjir.

Menurut beliau, petugas-petugas di PPS juga telah bersedia dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menangani penularan wabak COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir berkenaan.

"Untuk mempamerkan kesiapsiagaan dan mengukur tahap keupayaan, kerajaan telah bersedia bagi menghadapi ketibaan Monsun Timur Laut.

"Pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan terus bekerjasama rapat dengan setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri dan lain-lain agensi berkaitan melalui sesi-sesi libat urus, simulasi bencana, pembinaan kapasiti komuniti dan perbincangan untuk meningkatkan ketahanan semua pihak terhadap bencana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Che Alias bin Hamid (Pas-Kemaman) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, antara persediaan awal yang dibuat kerajaan bagi berdepan dengan fenomena itu adalah termasuk meluluskan bantuan awal kewangan kepada agensi terlibat.

"Bantuan adalah itu seperti RM50,000 kepada setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri; RM20,000 kepada setiap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah; dan RM280,000 kepada APM.

"Selain itu, sebanyak 15,000 cubicle tent telah dihantar untuk kegunaan mangsa-mangsa bencana banjir di PPS dan sebanyak 26,000 unit lagi akan dihantar kemudian secara berperingkat-peringkat. 

"NADMA dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan telah menghantar sebanyak 7,170 unit kit makanan ke seluruh negara manakala selebihnya akan dihantar secara berperingkat-peringkat," katanya.

Mengulas lanjut berhubung persediaan lain, beliau menambah, NADMA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pertubuhan bukan kerajaan telah menganjurkan program-program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) yang melibatkan 14,264 orang peserta melalui pelbagai saluran bersemuka dan secara dalam talian.

"NADMA juga telah mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Bencana Semasa Pandemik COVID-19 kepada semua JPBN," ujarnya.