KUALA LUMPUR: Demam James Bond 007 kembali melanda seluruh Malaysia, apabila sekuel kelima Danial Craig dan ke-25 secara keseluruhan – No Time To Die bakal ditayangkan di pawagam pada 25 November ini.

Menariknya, penulis buku ‘The Real James Bond’, Lynette Ramsay Silver mengesahkan watak ejen penyiasat fiksyen itu sebenarnya diadaptasi dari kisah pengintip British sebenar, Denis-Emerson Elliot dengan memakai kod BB (British Bureau) 007!

Lebih mengujakan, Elliot, sebenarnya pernah tinggal di Cameron Highlands sekitar tahun 1948, menyamar sebagai ahli perniagaan, tetapi sebenarnya terlibat dengan aktif untuk menyusup masuk dalam pergerakan Komunis, sekaligus melumpuhkan gerakan tersebut.

Dalam pada itu, negara pernah digemparkan dengan penangkapan bekas setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Siddiq Mohamad Ghouse pada 1979, atas dakwaan mencuba menjual rahsia negara kepada Kesatuan Soviet (Rusia) ketika itu.

Namun, wujud dakwaan bahawa, tangkapan itu merupakan permainan politik untuk menjatuhkan imej Dr Mahathir, sebelum beliau diangkat sebagai Perdana Menteri tiga tahun kemudian dengan menggantikan Tun Abdul Razak.

Dua peristiwa ini jelas menunjukkan kegiatan risikan, dan pengintipan (espionage) telah berlaku sekian lama dalam negara kita, malah seperti yang penulis buku ‘Sejarah Perisikan di Malaysia’ Azharuddin Mohamed Dali memberitahu – “risikan dan pengintipan antara aktiviti terawal manusia”.

BACA: 25 filem ikonik James Bond di saluran istimewa 007 dan 407 Astro 

BACA: Landskap geopolitik sudah berubah, Malaysia perlu tingkatkan keupayaan risikan – Penganalisis 



James Bond 007 | 25 filem di saluran 007, 407 Astro
 
 
Dalam pada itu, beberapa kajian mendapati, dengan ledakan arus teknologi yang semakin pesat di era ini, terutamanya dengan kadar penembusan Internet yang semakin tinggi di seluruh dunia, pengintipan digital atau digital espionage menjadi antara ancaman global yang terbaharu.

Menurut kajian Norwich University, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat pada 2019 telah merekodkan peningkatan 53 peratus terhadap aktiviti pengintipan digital dan pencurian maklumat dari syarikat-syarikat di negara itu.

“Penting untuk dicatatkan, majoriti aktiviti pengintipan digital bermula dengan e-mail. Penggodam biasanya menghantar e-mel kepada sasaran mereka.

Penerima e-mel ini kemudian biasanya menjadi mangsa kepada pengintipan digital apabila mereka membuka e-mail tersebut dengan mesej ‘phishing’ (23 peratus) atau apabila mereka membuka fail yang dilampirkan (11 peratus),” menurut artikel itu lagi.

Selain itu ia menyebut, pencurian maklumat perdagangan juga sering berlaku apabila seseorang individu sengaja menyalahguna atau mencuri maklumat demi kepentingan ekonomi untuk individu atau syarikat lain, berbanding dengan pemilik sebenar.

Katanya lagi, pesaing asing atau kerajaan yang bertanggungjawab di sebalik aktiviti pengintipan digital itu, biasanya akan menjalinkan hubungan perniagaan antara syarikat mereka dan syarikat-syarikat di A.S, dengan tujuan mendapatkan maklumat dalaman dan maklumat syarikat sasaran.

Berikut merupakan antara pergerakan pengintipan dan pencerobohan yang berlaku di serata dunia, seperti yang dilaporkan oleh Norwich University Online.

Pengintipan A.S dan Israel terhadap Iran

Pada 2010, Kerajaan A.S dan Israel telah berpakat untuk melumpuhkan program nuklear Iran.

Kedua-dua negara berkenaan memilih untuk melancarkan ‘malicious worm’ bernama ‘Stuxnet’. Dengan hanya bersaiz 500kb, ia mampu menjejaskan operasi lebih 14 tapak industri di Iran, termasuk kilang pengayaan uranium.

Situasi ini jelas menunjukkan bagaimana pengintipan digital (digital espionage) boleh digunakan demi memenuhi kepentingan politik.

Keberjayaan misi tersebut juga membuktikan pencerobohan ketenteraan bukan satu-satunya cara untuk memenangi peperangan.

Pengintipan China terhadap A.S

Pada 2013, Jabatan Pertahanan A.S mendedahkan 37 program senjata Pentagon dan 29 teknologi pertahanan telah diakses oleh ejen China.

Setahun kemudian, berlaku dua pencerobohan besar-besaran terhadap pangkalan data AS – yang mengandungi fail pelepasan keselamatan, serta rekod peribadi melibatkan 22.1 juta individu.

Pencerobohan itu dikaitkan dengan penggodam China yang didakwa bertindak bagi pihak kerajaan mereka. Insiden tersebut menyebabkan China diletak di tangga teratas dalam senarai negara yang mempromosi pencabulan harta intelek.

Singapura didakwa bantu A.S dan  Australia, intip Malaysia

Pada 2013, Pesuruhjaya Tinggi SIngapura ke Kuala Lumpur ketika itu, Ong Keng Yong mengesahkan beliau telah dipanggil memberi penjelasan, atas dakwaan negaranya membantu AS dan Australia mengintip komunikasi di seluruh Asia termasuk Malaysia.

Maklumat itu menjadi perhatian umum hasil pendedahan dokumen oleh bekas pekerja Agensi Keselamatan Negara (NSA) A.S.

Menteri Luar ketika itu Datuk Seri Anifah Aman dilaporkan berkata: "Saya tidak boleh menegaskan lagi bahawa mengintip rakan baik serta jiran adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima".

Menurut Norwich University lagi, kajian terkini menunjukkan lebih 88 peratus perniagaan dan pekerjaan berkaitan IT, meletakkan keselamatan siber antara tiga ancaman utama terhadap entiti berkenaan pada hari ini.

Bagi mengekang aktiviti berkenaan, laporan itu menyebut, pengguna secara individu, syarikat, agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan pendidikan telah menggunakan pelbagai strategi, antaranya menggunakan rangkakerja rangkaian berdasarkan penilaian risiko, untuk menghindari serangan siber.

Menurut laporan itu, 69 peratus menggunakan sekuriti siber dengan teknologi cloud-based, 65 peratus gunakan khidmat pihak ketiga, dan 59 peratus memanfaatkan data raya analitik (big data analytics) untuk memantau dan mengekang serangan siber.

Dengan peningkatan risiko, Norwich University berkata, ia juga sedikit sebanyak meningkatkan peluang pekerjaan terhadap mereka yang mempunyai kemahiran yang diperlukan, biarpun tambahnya lagi – “ia adalah situasi normal sistem kapitalis”.