KUALA LUMPUR:Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju untuk menerima beberapa lagi aplikasi mudah alih sebagai pilihan bagi kaedah pembayaran caj petak tempat letak kenderaan di bahu jalan sekitar ibu negara.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan, aplikasi tambahan yang boleh digunakan ialah EZ Smart Park, Flexiparking, Wilayah Parking dan M-Cash.

“Kaedah ini bagi memudahkan pengguna sedia ada yang mempunyai aplikasi tersebut untuk membuat transaksi bermula esok,” menurut kenyataan itu.

Menurut DBKL lagi, permohonan baharu pas bulanan untuk tempat letak kenderaan ketika ini masih belum beroperasi.

“Bagaimanapun permohonan untuk petak khas masih dibuka seperti biasa.

“DBKL menggalakkan orang ramai supaya terus menyesuaikan diri untuk menggunakan kaedah baharu ini bagi membuat bayaran tempat letak kenderaan bahu jalan di sekitar ibu negara,” jelas kenyataan itu lagi.