BALING: Seorang datuk maut manakala cucunya parah dalam kemalangan sebuah motosikal dengan sebuah pacuan empat roda di Kampung Mengkuang Masjid di Jalan Kuala Pegang-Parit Panjang, di sini, pada Rabu.

Mangsa, Mohamad Norzizan Ismail, 61, dari Kampung Lela, Kuala Pegang, maut di tempat kejadian selepas mangalami kecederaan pada pada bahagian dalaman badan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR sedang dalam perjalanan untuk menghantar cucunya Nur Damia Qaisara Norazlimi, 9, ke Kampung Kerawai, di sini.

“Apabila sampai di tempat kejadian di Kampung Mengkuang Masjid mangsa telah membelok masuk ke kanan iaitu ke sebuah stesen minyak.

“Kenderaan jenis Isuzu Dmax yang dipandu seorang lelaki datang dari arah belakang dipercayai tidak lepas memotong motosikal mangsa yang ketika itu sedang membelok masuk ke stesen minyak yang berada di sebelah kanan jalan lalu terlanggar dibahagian sisi sebelah kanan motosikal.

“Akibat daripada kemalangan tersebut penunggang motosikal telah mengalami cedera parah dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala cucunya mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.



Shamsudin berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kulim manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

Sementara pemandu pacuan empat roda berusia 61 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.