KUALA LUMPUR : Data yang kaya dan analitik yang mendalam membolehkan keputusan yang dicapai lebih baik, meningkatkan kecekapan, dan menginovasi dalam pelbagai bidang, yang semuanya membawa kepada peningkatan kualiti hidup dan pembangunan yang berterusan.

Menurut Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib, dalam landskap teknologi yang berkembang pesat, kecerdasan buatan (AI) telah muncul sebagai mercu tanda atau aspirasi kepada inovasi, di mana pelbagai pihak, terutama pemain industri ingin meningkatkan kecekapan operasi, produktiviti pekerja dan penjimatan kos melalui inisiatif AI.

"Saya dimaklumkan ada lapan pilihan tema kecil yang boleh dipilih untuk dibentangkan oleh para pembentang yang datang daripada pelbagai bidang pada hari ini.

"Saya percaya kertas pembentangan yang akan dibentangkan nanti mengandungi input-input serta kajian yang mendalam tentang pembangunan teknologi, pembangunan sosial dan ekonomi, AI dan Big Data. Ini terutamanya bagi menambahbaik analisis dan ramalan ekonomi, serta memperbaiki pemahaman kita terhadap dinamika kompleks dalam data.

"Persidangan seumpama ini merupakan antara platform yang membolehkan para perangkawan, penyelidik, ahli akademik dan pengguna data untuk memahami dan membincangkan hal berkaitan pengurusan data dan sosio ekonomi semasa di samping perkembangan teknologi yang semakin maju pada hari ini," katanya ketika berucap pada Persidangan Statistik Malaysia ke-11 di ibu negara pada Khamis.

Beliau juga yakin bahawa melalui kertas pembentangan MyStats pada Khamis dapat menambah data yang signifikan bagi memperkukuh proses asimilasi kecerdasan buatan di negara.

Persidangan Mystats kali ini menjadi medium diskusi dan perkongsian maklumat kajian-kajian berkaitan AI dengan 24 kertas yang akan dibentangkan oleh pengkaji daripada pelbagai universiti dan agensi dibawah lapan tema kecil yang berkaitan.

Pelaksanaan pada kali ini dianggarkan akan mendapat penyertaan seramai 1,000 orang
dengan mod pelaksanaan secara hybrid di mana 400 peserta secara fizikal manakala 600 peserta lagi secara dalam talian.