MELAKA: Kerajaan negeri Melaka kemungkinan mewajibkan peniaga di negeri itu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 sebagai satu salah syarat permohonan mendapatkan lesen perniagaan pada masa depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata golongan peniaga perlu mendaftar melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan serta memeriksa status pendaftaran mereka menerusi aplikasi MySejahtera.

Selain itu, katanya, Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) diminta membantu golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) khususnya mereka yang tidak mempunyai akses kepada telefon pintar atau kemudahan internet untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin tersebut.

"Usaha itu bagi memudahkan proses pendaftaran vaksinasi bagi golongan berkenaan sekali gus memastikan kira-kira 701,000 penduduk Melaka berusia 18 tahun dan ke atas yang layak menerima vaksin COVID-19 tidak tercicir," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini pada Khamis.

Sementara itu, sehingga 10 Mac, sebanyak 24 peratus atau 170,743 daripada keseluruhan 701,000 orang yang layak menerima vaksin di Melaka telah berdaftar melalui MySejahtera.

-- BERNAMA