Sewaktu meninggalkan tanah air untuk menimba ilmu, mereka adalah antara yang bertuah kerana diberi peluang merasai pengalaman berharga di negara orang.

Pemergian mereka ke negara asing dirindui keluarga dan kepulangan mereka dinanti. Namun, apabila tiba takdir yang membawa khabar memilukan, tiada siapa yang mampu menghalang.

Tragedi menimpa, dan mereka pergi sebelum sempat menghadiahkan segulung ijazah buat membalas jasa ibu bapa dan keluarga di tanah air.

Astro AWANI mengenang enam anak muda yang penuh visi dan misi, namun terpaksa akur dijemput Tuhan dalam usia yang masih hijau.

Salam takziah ditujukan buat semua ahli keluarga mangsa dan diharapkan segala urusan dipermudahkan.

Buat semua pelajar Malaysia lain yang kini menuntut ilmu di luar negara, dalam pada kita percaya pada ajal dan ketentuan Tuhan, jagalah diri anda sebaik mungkin pada setiap masa dan situasi.

Pelajar Malaysia maut di luar negara


Berikut adalah pautan ke beberapa laporan berita sejak seminggu yang lalu:

JORDAN, 23 JANUARI 2016

Fatin Ikmal Izyani Che Aziz, Hana' Azaha dan Al Najiatun Nailah Mohd Shafie, kesemuanya pelajar tahun tiga Universiti Mu'tah, Amman, maut dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke Mafraq untuk menghadiri sebuah program jaulah.

BACA: Tiga pelajar Malaysia maut kemalangan di Jordan
BACA:
Identiti tiga pelajar Malaysia maut di Jordan dikenal pasti


PERANCIS, 24 JANUARI 2016

Kegembiraan bermain ski di Nice pada 22 Januari lalu berakhir dengan tragedi bagi pelajar Universiti Nantes, Perancis, Affiah Ariffin Hew, apabila terbabit dalam kemalangan sewaktu bermain ski. Affiah koma dua hari sebelum menghembuskan nafas terakhir di samping ahli keluarga termasuk ibunya, Latipah Madon.

BACA: Kementerian Luar sahkan pelajar Malaysia maut kemalangan ski di Perancis
BACA: Ingin jumpa semua anggota keluarga permintaan terakhir Affiah


LONDON, 27 JANUARI 2016

Ketika kota London hiruk-pikuk dengan orang ramai yang berpusu-pusu pulang dari tempat kerja, Muhamad Aaron Maseri menemui ajal selepas dilanggar kereta api bawah tanah (TUBE) ketika dalam perjalanan pulang dari kampus universitinya, Universiti Middlesex.

BACA: Kementerian Luar sahkan pelajar Malaysia maut dilanggar kereta api di London
BACA: Jenazah Aaron dibawa pulang ke Malaysia pada Rabu


INDIA, 27 JANUARI 2016

Pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), S. Uthaya Kumar, maut selepas motosikal yang diboncengnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas. Uthaya yang merupakan pelajar tahun ketiga Kolej Perubatan Manipal meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kerajaan Chitradurga.

BACA: Pelajar Malaysia maut kemalangan motosikal di India
BACA: Polis Karnataka tahan pemandu bas