Dakwaan 'influencer' seleweng derma: Polis minta buat laporan

Sinar Harian
Julai 8, 2024 18:20 MYT
Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu sekiranya mempunyai laporan berhubung dakwaan itu.
KUALA LUMPUR: Polis menggesa orang ramai tampil membuat laporan mengenai dakwaan yang tular media sosial membabitkan seorang pempengaruh yang dikatakan menyeleweng dan pecah amanah wang derma.

Ringkasan AI
  • Polis menggesa orang ramai membuat laporan mengenai dakwaan seorang pempengaruh menyeleweng dan pecah amanah wang derma yang tular di media sosial.
  • Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, menyatakan bahawa siasatan akan dijalankan jika terdapat laporan berhubung dakwaan tersebut dan menasihatkan masyarakat berhati-hati memberi derma kepada individu tertentu untuk mengelakkan penipuan.
  • Beliau menyarankan orang ramai membuat semakan sebelum menderma dan lebih baik menyalurkan sumbangan kepada tabung kerajaan atau NGO yang berdaftar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu sekiranya mempunyai laporan berhubung dakwaan itu.
"Mana-mana orang awam yang berasa terkesan disebabkan derma berkenaan dan mengetahui kutipan itu telah disalahgunakan mohon tampil ke hadapan.
“Ini membolehkan siasatan dapat dijalankan oleh pihak polis,” katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati memberi derma pada tabung yang ditubuhkan oleh individu tertentu bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Jelasnya, orang ramai perlu membuat semakan dan pengesahan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang derma kepada mana-mana pihak.
"Kita kena hati-hati. Mereka akan menggunakan rasa simpati dan sifat dermawan kita untuk dimanipulasi dan tidak tahu di mana wang itu disalurkan.
"Jadi jika betul hendak menderma, salurkan ke tabung disediakan kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar," ujarnya.
Sejak beberapa hari lalu, timbul tanda tanya berhubung tular di media sosial mengenai seorang pempengaruh yang dikatakan mengambil komisen daripada kutipan derma orang ramai dengan peratusan yang tinggi selain didakwa hidup dalam kemewahan hingga menimbulkan pelbagai tanda tanya daripada warga siber. - Sinar Harian
#Polis siasat #influencer #kutipan derma #seleweng
;