Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memberi peringatan kepada Naib Presidennya, Darell Leiking yang didakwa menghina institusi Raja Berperlembagaan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan semua tuduhan dan perkara-perkara dibangkit dibincangkan secara bersama dan tidak membuat kenyataan secara terbuka.

"Bagi pihak parti (PKR) kita telah mengambil tindakan pada dua minggu yang lepas iaitu kita telah memberikan peringatan supaya perkara-perkara ini perlu dibincangkan dalam parti untuk mendapatkan penjelasan dan tidak membuat tuduhan secara terbuka," katanya semasa ditemui media selepas majlis sambutan Hari Raya kakitangan awam hadir dan pengumuman insentif khas kepada kontinjen Selangor sempena Sukma 2016 di Dataran Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor bagaimanapun, menyerahkan siasatan isu berkenaan kepada pihak polis.

"Perkara ini sedang disiasat pihak polis, kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat," katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi sebelum ini berkata beliau meminta penjelasan daripada Mohamed Azmin, namun menurutnya beliau memilih untuk 'bersikap hipokrit.'

Budiman pada masa sama menyatakan rasa kesal apabila usul berkaitan isu yang dikemukakan beliau kepada Dewan Undangan Negeri Selangor ditolak Speaker, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Pada 7 Julai lalu, Darell Leiking telah memuat naik status di akaun Facebook beliau, yang mempertikai khutbah dikeluarkan JAIS sempena Aidilfitri 6 Julai 2016 yang menyentuh usaha mempertingkatkan serta memartabatkan institusi perundangan Syariah menerusi usul Rang Undang-Undang Persendirian mengenai Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Parlimen.

Leiking kemudian membuat kenyataan 'kelihatan Selangor ditadbir oleh ekstremis Islam' (it is beginning to look like the extremists are running the State of Selangor).