Kejayaan dilakar apabila 1,500 peserta dari 15 negara berjaya mendaki 1,608 anak tangga menuju ke Pelantar Pemandangan Tertutup Menara Kuala Lumpur, pada ketinggian 292 meter.
Rekod dipecahkan apabila perlumbaan tahun ini menetapkan piawaian baharu kepada jumlah anak tangga tersebut berbanding 1,576 anak tangga sebelum ini.
Edisi ke-22 acara sukan antarabangsa ini bukan sahaja menjadi medan ujian ketahanan fizikal dan mental, tetapi turut menyaksikan rekod jumlah anak tangga tertinggi dalam sejarah penganjurannya.
Acara bertemakan “Challenge Your Steps” tajaan Turkish Airlines itu turut mengumpulkan atlet profesional, peminat kecergasan dan peserta baharu.
KLTITC24 antara lain bertujuan memperkukuh kedudukan Menara Kuala Lumpur sebagai lokasi utama acara sukan global.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Nazli Saad, KLTITC24 bukan sekadar acara, tetapi simbol ketabahan dan semangat luar biasa para peserta.
Katanya, pihaknya berbangga meraikan ulang tahun ke-28 Menara Kuala Lumpur dengan penganjuran acara itu yang memperlihatkan Malaysia di mata dunia.
KLTITC24 menjadi lebih kompetitif apabila peserta ditawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM80,000 bagi pelbagai kategori.
Hadiah menarik menerusi cabutan bertuah turut ditawarkan kepada peserta termasuk tiket penerbangan ke Istanbul tajaan Turkish Airlines.
Kejayaan KLTITC24 sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia dalam mempromosi gaya hidup aktif dan pelancongan sukan.