KUALA LUMPUR: Tiba sahaja musim perayaan sudah tentu isu kenaikan harga daging, ayam mahupun kambing menjadi perbualan hangat.

Puncanya disebabkan kenaikan harga makanan ruminan import beberapa kali tahun lalu.

Jika itu menjadi penyebabnya, mengapa tiada lagi jalan penyelesaian oleh pihak berwajib?

Penulis ke Kuala Selangor untuk bertemu Muhammad Fesal Idris, 61, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Fesal.


BUKAN ISU BARU

Setibanya di kandang kambing kepunyaannya, sosok penternak ini menceritakan pengalamannya dengan kenaikan harga ruminan.

Baginya, isu kenaikan harga ruminan ini bukan perkara baharu, sudah menjadi kebiasaan buat penternak. Setiap kali harga melambung tinggi, penternak juga menjadi mangsa apabila kos ternakan menjadi mahal.

"Pasal harga dedak ini isu meletup baru-baru ini, sebenarnya ini isu lama yang tidak ditangani atau sengaja tidak diendahkan.

"Tidak ada logiknya, harga bahan makanan ternakan itu naik berasaskan bahan tempatan, tidak ada logiknya kerana, pertama Malaysia pengeluar sawit kedua terbesar di dunia.

"Kita mempunyai lebihan sawit yang dulu dibuang (tetapi) sekarang sudah bernilai, maka kegawatan itu ialah apabila bahan ini dieksport tanpa kawalan, maka akhirnya para penternak terpaksa membeli makanan ini sehingga mencapai RM700 satu tan," katanya ketika ditemui penulis.


KENAIKAN HARGA MAKANAN RUMINAN

Untuk rekod kenaikan harga makanan ruminan tempatan meningkat sebanyak empat kali dalam tempoh setahun.

November 2020, 50 kilogram makanan itu berharga RM49, Januari 2021 (RM55), Februari 2021 (RM57) dan Mac pula mencecah RM60.

Harga makanan ruminan import seperti jagung pula meningkat daripada RM 55 April 2020 kepada RM1,100 pada November 2020 bersamaan peningkatan 15.2 peratus.

Harga kacang soya pula meningkat 9.4 peratus iaitu RM1,920 pada April kepada RM2,100 pada November tahun sama.

"Pengimport akan import pada satu harga, kalau naik harga pun bermakna import itu sekali, mungkin enam bulan sekali atau empat bulan sekali, dia tak import hari-hari.

"Bermakna kalau berlaku satu kenaikan, hanya satu kenaikan harga. Tetapi yang hairan kenapa harga dedak yang telah diproses tiap-tiap minggu naik, menyebabkan harga ayam dan daging naik," jelas Pak Fesal lagi.

Lebih memeritkan penternak, Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Hari Raya Aidilfitri ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi Daging RM32 sekilogram untuk pemborong dan RM34 bagi peruncit.

Ia sekaligus membebankan penternak yang terpaksa menanggung kos harian tinggi, tetapi hasil jualan daging pula tidak setimpal.


NEKAD BANGUNKAN MAKANAN SENDIRI

Walapun pelbagai aduan mahupun rungutan telah dibuat penternak, bagi Muhammad Fesal, dia terpaksa mengubah pemakanan haiwan ternakannya.

Menerusi penyelidikan dan pembangunan dilakukannya selama beberapa tahun, akhirnya dia berjaya menghasilkan rumput Napier Bagan Tengkorak.

"Sebab itu saya bangunkan satu makanan dipanggil silaj dimana berlaku proses fermentasi menggunakan Micro-mite Bio Star (bahan penggalak) dan dicampur dengan makanan tertentu, akhirnya menjadi makanan fermentasi bukan setakat bernilai untuk ternakan, juga menjadi sumber pendapatan.

"Ianya boleh dijual dengan harga minima RM400 bagi satu tan, ia adalah makanan alternatif yang baik bagi haiwan ternakan," katanya.

Hasil titik peluhnya itu, bukan hanya untuk kegunaannya sendiri, malah Muhammad Fesal menjadi penyelamat bagi penternak seluruh negara yang kini menggunakan produknya.


KPDNHEP AKUI WUJUD KENAIKAN HARGA

Penulis memanjangkan isu ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang membawa kepada temubual bersama Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi baru-baru ini.

Ujarnya, pihak kementeriannya mengakui bahawa wujud kenaikan harga daging dan ayam hanya dalam tempoh dua minggu pertama umat Islam menyambut Ramadan.

Meskipun bukan di bawah bidang kuasanya untuk menetapkan harga makanan ruminan, namun daripada sudut penguatkuasaan terus dijalankan di seluruh negara.

"Memang ada berlaku dua minggu lepas pada peringkat awal Ramadan, ada berlaku harga daging naik, ayam pun naik.

"Selepas pihak KPDNHEP mendapat aduan kami membuat libat urus dengan Kementerian berkenaan seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Jabatan Veterinar dan pemain industri.

"Kita dapati satu keputusan, dimana kita nak letakkan harga kawalan daging. Bila kita letak RM34 satu kilogram lembu tempatan, ada segelintir mengadu mengatakan itu adalah harga tidak berpatutan terlalu rendah, mereka kata patut lebih antara RM36 hingga RM38," katanya.

Malah kajian yang dilakukan pihaknya mendapati punca utama disebabkan kenaikan harga makanan ruminan yang diimport.

"Kita dapati memang betul, beberapa tahun ini sudah naik (harga). Harga dedak diimport makanan ayam diimport, ladang-kadang ayam memang sudah terbeban dengan kenaikan harga makanan ayam.

"Jadi sebab itu mereka kata, ayam mereka dijual dengan harga lebih tinggi sebab mereka perlu membeli dedak ayam dengan harga tinggi. Itu satu daripada puncanya," katanya lagi.


Laporan Khas | Daging Oh Daging: KPDNHEP akui wujud kenaikan harga


Mengikut Skim Kawalan Harga Maksima di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, harga runcit daging lembu tempatan RM34 sekilogram.

Di Sabah pula harganya lebih murah RM26.50.

Harga daging import pula sekitar RM25 hingga RM27 ringgit berkuat kuasa 21 April sehingga 20 Mei 2021.

Individu yang gagal patuhi harga ini boleh didenda maksimum RM100,000 atau tiga tahun penjara.

Manakala bagi syarikat denda maksimum RM500,000 boleh dikenakan jika dikesan berlaku pencatutan.


SUDAH TIBA MASA MALAYSIA KELUARKAN PRODUK SENDIRI

Jika isu kenaikan harga daging disebabkan makanan ruminan, tidakkah sesuatu perlu dilakukan termasuk mencipta bahan makanan ruminan tempatan?

Untuk rekod, kira-kira 42 buah kilang yang memproses makanan ruminan tempatan, namun ianya tidak membantu penternak.

Sebaliknya, nasib penternak tempatan seolah olah dipinggirkan daripada pembangunan seperti sektor-sektor lain.

"Kenapa tidak ada perundingan daripada pihak kerajaan dan pihak tertentu ini untuk meningkatkan lagi penternakan negara ini?

"Jika kerajaan memberikan hanya satu peratus daripada jumlah lebihan sawit tempatan, kita hanya ada 800,000 ekor lembu, kambing pula 500,000 ekor untuk menampung keperluan lebih 32 juta penduduk.

"Jumlah ternakan itu, tidak banyak pun, tetapi memerlukan bantuan kerajaan," katanya.

Penulis juga cuba mendapatkan komen daripada Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Ronald Kiandee berhubung isu ini.