Baginda bertitah, jika ada pihak yang tidak berpuas hati demi agenda peribadi, dan hanya hendak melagakan rakyat atau untuk kepentingan politik, mereka “dipersilakan pindah” ke negeri yang masih bercuti pada Jumaat dan Sabtu.
Titah baginda menerusi laman rasmi The Royal Johor, keputusan yang dibuat itu adalah selepas mendapat izin dan restu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Bahkan, titahnya, keputusan itu dilakukan selepas mendapat pandangan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor, Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan dan rakyat.
“Maka saya telah membuat keputusan untuk Johor bercuti semula pada Sabtu dan Ahad,” titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail bertitah, meskipun masih ada negeri bercuti Jumaat dan Sabtu namun keputusan itu selepas mempertimbangkan isu berkaitan kehendak rakyat Johor, terutamanya untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga.
“Dalam mempertimbangkan isu berkaitan kehendak rakyat Johor untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak, kesan ekonomi yang positif adalah seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di negeri Johor.
“Ini seterusnya akan membawa keuntungan kepada negeri dan rakyatnya,” titah Tunku Mahkota Ismail.
Astro AWANI pada Isnin lepas melaporkan cuti hujung minggu di Johor akan ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari tahun depan.
Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah perkara itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).
Baginda turut bertitah agar semua syarikat-syarikat swasta, pihak kerajaan dan pihak yang berkaitan akan memberikan ruang dan masa yang mencukupi untuk para pekerja Muslim menunaikan Solat Jumaat.