BIDOR: Seorang lelaki yang dilaporkan maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Coldstream, pagi tadi dipercayai cuba memotong tembaga di dalam bilik kuasa elektrik Bidor Sand Plant, di sini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semakan rekod lampau mendapati mangsa mempunyai lapan rekod kesalahan jenayah termasuk narkotik.

Katanya lagi, anggota dari Balai Polis Bidor menerima maklumat daripada orang awam berkenaan penemuan seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri disyaki terkena renjatan eletrik semasa berada di dalam bilik kuasa elektrik itu.

"Mangsa dipercayai cuba memotong tembaga yang berada di dalam bilik kuasa elektrik tersebut.

"Pihak hospital telah dihubungi dan telah hadir ke tempat kejadian. Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tapah bagi proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
 
Tegasnya lagi, polis memberi amaran keras supaya orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa kegiatan yang melanggar undang-undang.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki maut akibat terkena renjatan elektrik di Kampung Coldstream, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa yang berusia lingkungan 40 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).