AYER KEROH: Seorang pekerja pembersihan terpaksa meringkuk di tirai besi selepas cuba membunuh isterinya dengan mencekik, memukul dan menekup muka menggunakan bantal.
 
Hukuman penjara selama tiga tahun itu  diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Maziah Joary Tajudin selepas tertuduh M M Paramasivam, 49, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan terhadapnya.
 
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati melakukan cubaan bunuh terhadap isterinya M Santhi, 48, dengan cara menekup muka mangsa menggunakan bantal.
 
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan jika ia menyebabkan cedera, hukuman pensara 20 tahun mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
 
Tertuduh juga didapati dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap mangsa dengan mencekik leher dan memukul mukanya.
 
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.

Mahkamah | Cuba bunuh isteri, pekerja pembersihan dipenjara

 
Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh  yang juga bapa dua anak didapati telah menakutkan secara jenayah berbentuk ugutan secara lisan ‘mati lagi bagus’ dengan cara mengacukan pemutar skru terhadap mangsa sama.
 
Bagi tindakan itu dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
 
Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 5 pagi, di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel, Bemban dalam daerah Jasin, pada 4 Februari 2020.
 
Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika tertuduh dalam keadaan mabuk.
 
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin memohon hukuman berat dikenakan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius.
 
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapu merayu hukumannya diringankan dan bermula dari tarikh ditangkap pada 14 Februari 2021 lalu.
 
Maziah pada penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun bagi pertuduhan pertama dan satu tahun masing-masing bagi pertuduhan kedua serta ketiga.
 
Beliau bagaimanapun memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap.