KUALA LUMPUR:Kerajaan Sarawak mengambil langkah menutup pos kawalan sempadan serta pelabuhan bersama Indonesia dan Filipina di negeri itu berkuatkuasa serta merta sehingga 31 Disember 2020.

Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing menerusi pesanan ringkas kepada Astro AWANI pada Jumaat.

James yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak juga berkata keputusan itu dicapai bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ke negeri itu.

“Keputusan ini dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pos Kawalan Sempadan yang diadakan di Kuching dua hari yang lalu.

“Malah kita turut mengesyorkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak untuk terus meningkatkan kawalan kemasukan terutama bagi pelawat dari Sabah dan Semenanjung,” katanya.

Tambahnya lagi, Sarawak mempunyai pilihan untuk terus melindungi kebajikan dan keselamatan rakyatnya.

Justeru langkah berjaga-jaga perlu terus ditingkatkan termasuk proses sanitasi melibatkan tapak pembinaan dan perladangan yang diusahakan warga asing.

“Ketika ini, ada kemungkinan gelombang kedua wabak ini melanda negara jadi kita harus sentiasa bersedia.

“Kita akan tewas sekiranya kita tidak bersedia sama ada di darat atau perairan, adalah lebih baik lebih baik untuk kita mencegah daripada menyesal kerana gagal mengekang penularan wabak ini,” tambahnya.